Buku cek dipegang pembantu Zahid, mahkamah diberitahu

Buku cek dipegang pembantu Zahid, mahkamah diberitahu

Peguam berkata, Mazlina Mazlan @ Ramly mengeluarkan cek yang ditandatangani awal oleh bekas perdana menteri itu atau yang mempunyai cop tandatangannya tanpa pengetahuan beliau.

Bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi menghadiri perbicaraannya berhubung 47 tuduhan pengubahan wang haram dan CBT di Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh dipertanggungjawabkan atas 12 tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) kerana buku cek peribadinya dan Yayasan Akalbudi dipegang secara eksklusif oleh setiausaha eksekutifnya, Mahkamah Tinggi dimaklumkan hari ini.

Salah seorang peguam timbalan perdana menteri itu, Hamidi Mohd Noh berkata, Mazlina Mazlan @ Ramly mengeluarkan cek yang ditandatangani awal oleh Zahid atau yang mempunyai cop tandatangan Zahid tanpa pengetahuan beliau.

“Liabiliti (Mazlina) tidak boleh diserahkan kepada tertuduh atas dakwaan CBT kerana tiada tindakan tidak jujur,” hujah Hamidi di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.

Katanya, buku cek berkenaan dalam kawalan dan jagaan Mazlina, saksi utama pendakwaan dan ini diakuinya sendiri dalam pemeriksaan balas.

“Dia juga memegang kunci laci di mana buku-buku cek itu disimpan. Tertuduh tidak mempunyai akses,” katanya.

Hamidi berkata, pihak pendakwaan juga terlalu bergantung kepada Mazlina untuk membuktikan kes mereka, tetapi dia terbukti tidak boleh dipercayai, tidak kompeten dan sangat cuai.

Zahid dibicarakan atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan CBT yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi, serta menerima rasuah bagi pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.

Perbicaraan yang bermula pada 18 Nov 2019 itu didengar selama 52 hari selama dua tahun dengan 99 saksi memberikan keterangan.

Hari ini, pihak pembelaan mula mengemukakan hujah atas tuduhan CBT yang membabitkan 52 cek.

Sebanyak 34 cek dicop dan 10 cek ditandatangani awal oleh Zahid digunakan untuk membuat pembayaran, manakala lapan lagi untuk tujuan lain.

Pihak pendakwaan dalam kenyataan pembukaannya berkata, Zahid melesapkan RM31 juta milik Yayasan Akalbudi, sebuah organisasi amal yang ditubuhkan untuk membantu golongan miskin dan memerlukan.

Katanya, jejak wang akan menunjukkan bahawa sejumlah besar wang telah digunakan, antara lainnya untuk membayar bil kad kredit peribadi dan membeli polisi insurans kenderaan bermotor serta cukai jalan untuk kenderaan persendirian.

Hamidi berkata, pihak pendakwaan dalam perbicaraan jenayah mesti membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah dan tidak boleh meletakkan liabiliti jenayah berdasarkan cek yang dicop dan ditandatangani awal.

Tiada keizinan menyeluruh diberikan

“Mereka belum membuktikan kes prima facie bagi (tuduhan) CBT dan tertuduh berhak dibebaskan,” kata Hamidi.

Beliau berkata, Mazlina menganggap dia mendapat keizinan secara menyeluruh daripada Zahid untuk mengeluarkan cek tanpa kehadiran beliau.

“(Zahid) tidak pernah sama sekali memberinya arahan sebegitu tetapi (Mazlina) pernah sekali membuat permintaan itu dan keizinan diberikan,” katanya, sambil menambah, Zahid pernah menjadi pegawai bank dan tahu prosedurnya.

Hamidi berkata, Mazlina dalam pemeriksaan balas juga bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa cop tandatangan Zahid hanya boleh digunakan untuk sijil dan kad ucapan Hari Raya.

Semasa perbicaraan, Mazlina memberi keterangan bahawa Zahid memberinya izin untuk menggunakan cop tandatangannya pada cek Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kredit.

Katanya, cop itu akan digunakan ketika Zahid berada di luar pejabatnya, menghadiri mesyuarat atau di luar negara.

Pihak pembelaan akan meneruskan penghujahan esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.