Mahkamah perintah lelaki didakwa cuba bunuh ayah kandung jalani pemeriksaan psikiatri

Mahkamah perintah lelaki didakwa cuba bunuh ayah kandung jalani pemeriksaan psikiatri

Media sebelum ini melaporkan tertuduh menikam ayahnya sehingga cedera di leher kanan, bahagian atas kepala, telinga kiri dan tapak tangan kiri kerana berang anak saudaranya menangis.

Muhamad Nur Amin Azmail didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Seorang lelaki yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh ayah kandungnya diperintah menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital.

Muhamad Nur Amin Azmail, 28, didakwa dengan pengetahuan cuba membunuh Azmail Mohd Salmon, 66, dengan menikam bahagian leher mangsa menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah dekat Bachok, pada 10.40 pagi 24 Ogos lepas.

Penganggur itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry memaklumkan tertuduh telah menjalani rawatan psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak lima tahun lepas dan memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Sept ini untuk sebutan semula kes tertuduh yang tidak diwakili peguam itu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dipercayai pesakit mental menikam ayahnya sehingga cedera di leher kanan, bahagian atas kepala, telinga kiri dan tapak tangan kiri kerana berang anak saudaranya menangis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.