
Bekas ketua pengarah perisikan pertahanan, Salleh Ismail berkata intipan mendapati pemimpin politik berkenaan turut melakukan pertemuan dengan individu berpengaruh di luar negara.
Katanya, hasil risikan mendapati pemimpin tersebut “sangat diminati” pihak luar untuk meneruskan kedudukan dan kekuatan mereka dalam politik.
“Kita tahu tindakan (pihak dari luar negara) menjurus kepada memberi bantuan kepada pihak-pihak tertentu (dalam negara). Kita tiada bukti bahawa bantuan itu diserah secara terus tetapi maklumat yang kita terima, beberapa organisasi di AS, contohnya ada memainkan peranan.
“Mereka juga diberi sokongan secara moral. Itu memang jelas, melalui tindakan-tindakan (beberapa pemimpin politik) yang sering berjumpa dengan pihak yang berpengaruh di luar negara. Maklumat-maklumat itu kita dapat,” kata beliau, menurut laporan Mingguan Malaysia.
Salleh turut mendedahkan pasukan perisikan tentera mempunyai maklumat lengkap tentang tarikh pertemuan, lokasi serta identiti pemimpin politik yang mengadakan pertemuan dengan pihak asing di beberapa negara.
“Sewaktu dia berada di beberapa negara, kita buat pemantauan. Siapa yang dia jumpa dan sebagainya. Tapi kita tak tahu apa yang dibincangkan. Tapi memang ada perjumpaan dengan beberapa orang yang mendapat sokongan secara moralnya dari luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Salleh turut mempersoalkan tindakan Naib Presiden AS, Kamala Harris yang mendarat di Lapangan Terbang Tentera Paya Lebar, bekas pangkalan tentera udara AS, ketika kunjungan beliau ke Singapura pada 22 Ogos lalu.
“Mendarat di lapangan terbang tentera itu lebih kepada isu keselamatan dan juga menunjukkan kepada Malaysia bahawa ketenteraan Singapura masih disokong kuat oleh Amerika. Itu yang mereka mahu tunjuk.
“Saya rasa ia diolah oleh Singapura sendiri. Mahu tunjuk kepada Malaysia, jangan main-main, kamu ini hanya pemain yang kecil. Jadi ini sebagai satu amaran kepada kita. Saya percaya ini semua permainan mereka,” katanya.