
Bercakap pada sidang media, Shuhaily berkata, inisiatif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026 itu akan dilaksanakan melalui kaedah lantikan berasaskan kontrak selepas peruntukan diterima.
“Semalam kami mengadakan pertemuan dengan veteran ATM. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita akan menggunakan model yang diguna pakai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak hampir empat tahun lalu.
“Ia pada asasnya melibatkan tugasan sokongan, manakala kuasa pelaksanaan akan dikongsi bersama pegawai AKPS,” katanya.
Beliau berkata selepas mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar baru-baru ini, beliau telah diarahkan untuk melaksanakan inisiatif itu dengan segera.
“Justeru, pelaksanaannya dijangka bermula Januari 2026 selepas peruntukan disalurkan. Daripada keseluruhan 220 jawatan itu, pengambilan akan dibuat secara berperingkat,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 sebelum ini memaklumkan keutamaan akan diberikan kepada veteran ATM bagi mengisi keperluan tenaga kerja AKPS bagi kesiapsiagaan penuh agensi itu.
Sementara itu, mengulas pelaksanaan Sistem Saringan Penumpang Awal (APSS) yang bermula pada 31 Okt lepas, Shuhaily berkata sistem berkenaan kini berada pada fasa awal, dengan matlamat mengintegrasikan data Jabatan Imigresen dengan kemudahan di bawah APSS.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang mempunyai sekatan perjalanan supaya menyelesaikan isu berkenaan sebelum berlepas ke luar negara.
“Ini kerana sistem tersebut akan memberi makluman awal kepada AKPS, membolehkan kami menghalang individu yang mempunyai sekatan daripada meninggalkan negara,” katanya.
APSS dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan imigresen dengan meneliti maklumat penumpang sebelum ketibaan, sekali gus membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti individu berisiko tinggi lebih awal dan mengambil langkah proaktif meningkatkan keselamatan negara.
Pada Isnin, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata bagi fasa awal pelaksanaan APSS, 10 syarikat penerbangan terlibat bagi menguji keberkesanan sistem tersebut sebelum ketibaan penumpang di pintu masuk antarabangsa.