
Program itu diadakan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Tuanku Raja Perlis bertujuan membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah serta menggalakkan budaya menabung dalam kalangan rakyat negeri itu.
Dalam majlis itu, Tuanku Lailatul Shahreen menyerahkan sumbangan Tabung Putra Petri kepada 31 bayi dilahirkan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) antara 17 Mei hingga 17 Julai lalu, selain bantuan peralatan perubatan kepada lapan pesakit di hospital sama.
Simpanan RM1,000 bagi bayi beragama Islam dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji manakala bagi bukan Islam ke dalam Amanah Saham Nasional Berhad yang hanya boleh dikeluarkan apabila penerima berusia 18 tahun ke atas.
Daripada jumlah itu, 26 penerima adalah bayi beragama Islam dan lima bukan Islam.
Sejak diperkenalkan pada 2014, program Tabung Putra Petri memanfaatkan 244 bayi di Perlis dan membantu menyediakan asas kewangan awal kepada generasi muda, selain mengukuhkan hubungan rakyat dengan institusi diraja.
Lapan pesakit kurang berkemampuan pula menerima bantuan peralatan perubatan termasuk cermin mata dan alat sokongan kesihatan.
Sejak 2007, lebih RM1.2 juta disalurkan yayasan itu kepada lebih 700 pesakit di seluruh negeri.