Mahkamah putuskan sabotaj perkhidmatan air bukan kesalahan keselamatan

Mahkamah putuskan sabotaj perkhidmatan air bukan kesalahan keselamatan

Tetapi, panel tiga hakim menolak permohonan ikat jamin kontraktor itu kerana dia tidak memenuhi kriteria bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Kontraktor R Nathan didakwa mensabotaj perkhidmatan air di Selangor. (Gambar Bernama) 
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan sabotaj perkhidmatan air Selangor bukan kesalahan keselamatan.

Oleh itu, panel tiga hakim yang dipengerusikan Suraya Othman berkata, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) tidak boleh digunakan ke atas kontraktor R Nathan.

Suraya, yang bersidang bersama Abu Bakar Jais dan See Mee Chun, berkata Nathan boleh memohon ikat jamin di bawah peruntukan Kanun Prosedur Jenayah (CPC) sementara menunggu keputusan perbicaraan.

November lalu, Nathan dan pengarah syarikat Lim Kian Aik, 42, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sengaja melakukan sabotaj untuk mengganggu perkhidmatan air Selangor di Taman Velox, Rawang, kesalahan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan.

Kedua-duanya berisiko dipenjarakan seumur hidup jika didapati bersalah.

Suraya berkata, kesalahan Kanun Keseksaan dikecualikan di bawah SOSMA, selaras Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Nathan, 44, yang berada di Penjara Sungai Buloh sejak 10 bulan lalu, hadir di mahkamah ketika keputusan itu diumumkan, tetapi dia belum dapat diikat jamin.

Suraya berkata, jaminan tidak dapat diberikan kepada Nathan sekarang mengikut peruntukan dalam CPC kerana dia belum mengemukakan sebarang bukti ketika ini.

“Permohonan ikat jamin ditolak kerana dia tidak memenuhi sebarang kriteria dalam CPC.”

Bagaimanapun, Suraya memberitahu peguam T Harpal Singh yang anak guamnya boleh memohon ikat jamin di Mahkamah Tinggi, jika memenuhi syarat.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 April lalu, membenarkan Lim diikat jamin RM50,000 kerana dia disahkan menghidap sindrom koronari akut.

Terdahulu, Harpal berhujah yang pertuduhan ke atas Nathan bukannya kesalahan keselamatan dalam lingkungan SOSMA.

Katanya, jaminan boleh diberikan kepada mereka yang didakwa melakukan kesalahan terhadap negeri dan jenayah terancang, kedua-duanya di bawah Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, jaminan boleh ditolak jika ia adalah kesalahan berkaitan keganasan di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015.

“Tertuduh boleh memohon jaminan kerana kesalahan yang dihadapinya bukan kesalahan keselamatan dalam lingkungan SOSMA.”

Sebagai alternatif, beliau berkata, mahkamah boleh menawarkan jaminan kepada Nathan di bawah CPC.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhana Khalid berkata, permohonan jaminan perlu ditolak kerana tindakan sabotaj Nathan ialah ancaman kepada perkhidmatan perlu.

Lim dan Nathan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi, tetapi tarikh perbicaraan belu ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.