
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras Muhammad Idzam Jaafar, warga asing yang kebanyakannya bekerja dalam sektor perindustrian dan pembangunan itu mula membanjiri PPV sejak jam 4 pagi lagi.
Katanya, langkah drastik terpaksa diambil dengan membahagikan pemberian vaksin kepada sesi pagi dan petang apabila keadaan di PPV sesak sehingga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Disebabkan itu, kita mengambil tindakan dengan mengarahkan mereka beredar dan hadir semula pada jam 2 petang untuk mendapatkan vaksin.
“Ketua Pengurus PPV Stadium Nasional Bukit Jalil juga bersetuju dengan nasihat polis supaya membuat dua sesi walk-in bagi individu bukan warga negara iaitu pada sesi pagi dan juga petang,” katanya dalam kenyataan menurut Utusan Malaysia.
Selain itu, katanya, polis akan menambah kekuatan anggota bagi mengawal situasi di PPV terbabit memandangkan tarikh suntikan vaksin untuk individu bukan warganegara akan berakhir esok.
Menurutnya, ia bagi memastikan petugas, penduduk setempat serta warga asing berasa selamat daripada jangkitan Covid-19 selari dengan SOP ditetapkan kerajaan.
Idzam turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung hantaran yang tular di media sosial dikhuatiri boleh mengundang kebimbangan di kalangan masyarakat.
Sebelum itu, seorang pemilik akaun TikTok yang mendakwa diarahkan untuk beredar dari kawasan PPV Stadium Nasional Bukit Jalil, Cheras, Kuala Lumpur kerana dikatakan kehabisan vaksin setelah 4 jam beratur menunggu giliran.