Bangkit dari kepayahan, ‘Abang Tingkap’ kini tarik perhatian

Bangkit dari kepayahan, ‘Abang Tingkap’ kini tarik perhatian

Mohd Ramli Mat Zin semakin menjadi perhatian di media sosial dengan perniagaan masakan panas diturunkan dari tingkap menggunakan bakul pakaian.

Mohd Ramli Mat Zin
Mohd Ramli Mat Zin atau ‘Abang Tingkap’ menjadi tular apabila mengusahakan perniagaan masakan panas yang diturunkan dari tingkap menggunakan bakul pakaian.
PETALING JAYA:
Di sebalik kisahnya tular, terselit ketabahan seorang lelaki berusaha keluar daripada kepayahan hidup dengan mengusahakan sebuah perniagaan kecil yang unik.

Mohd Ramli Mat Zin, 46, atau ‘Abang Tingkap’ semakin mendapat perhatian di media sosial selain penduduk di sekitar Langkawi yang tertarik dengan caranya berniaga makanan yang diturunkan dari tingkap menggunakan bakul pakaian.

Menurut Ramli, dia mula mengusahakan perniagaan itu di Arked Pokok Assam 1 sejak mengalami masalah sukar berdiri lama akibat ulser vena kronik tahun lalu.

Katanya, keadaan itu menyebabkannya tiada pilihan selain berusaha mencari rezeki sendiri dengan menggunakan pengalaman kerja sebagai tukang masak bagi menyara keluarga.

“Dengan keadaan begini, saya tidak mahu menyusahkan mana-mana majikan. Penyakit yang dialami ini memang menjejaskan kerana saya tidak dapat berdiri lama tetapi saya teruskan juga,” katanya.

Mohd Ramli Mat Zin
‘Abang Tingkap’ kini mampu menggaji pekerja sendiri yang menggerakkan perniagaannya.

Tidak lama selepas memulakan perniagaan pada Ogos tahun lalu, nama Abang Tingkap mula menjadi tular, dengan menyediakan pelbagai masakan panas seperti nasi goreng, kuetiau goreng dan mi goreng.

Ramli berkata, kuasa media sosial membantunya berkembang dan menarik lebih ramai pelanggan untuk mencuba sendiri masakannya.

Katanya, kejayaan itu bukan hasil usahanya sendiri semata-mata tetapi juga dibantu oleh isteri yang sentiasa memberi kekuatan.

Mohd Ramli Mat Zin
Mohd Ramli Mat Zin mengalami ulser vena kronik dan terpaksa menggunakan kerusi untuk memasak.

“Pernah juga ada hari yang langsung tidak ada pesanan. Pernah juga terfikir untuk berhenti selepas modal habis hingga terpaksa makan ikan bilis dan telur sahaja.

“Namun, saya tidak mahu meraih simpati tetapi berusaha selagi boleh. Buktikan kepada orang bahawa kita masih boleh mencari rezeki walaupun dalam serba kekurangan,” katanya.

Menurutnya, dia yang kini dibantu tiga pekerja amat bersyukur kerana usahanya mendapat sokongan pelanggan dan peniaga di sekitar Langkawi.

“Nak kata hidup selesa itu tidaklah tetapi hasil berniaga ini kami mampu bayar sewa dan buat modal. Paling penting kami tidak hidup meminta-minta kepada orang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.