
Mengimbau hari pertamanya sebagai menteri, beliau meluahkan rasa terkejut dengan kehadiran sejumlah besar kakitangan yang sedia menanti arahannya ketika beliau tiba di pejabat.
“‘Kamu semua buat apa di sini? (saya tanya mereka). Ada sekumpulan orang berhimpun, sedangkan saya hanya nak ke pejabat,” katanya pada forum awam di Kuala Lumpur hari ini.
Rafizi berkata, golongan reformis perlu ‘merungkai’ budaya dalam perkhidmatan awam itu ‘sedikit demi sedikit’, memandangkan ia telah sebati sejak sekian lama.
“Pada masa lalu, jika menteri datang bekerja tanpa disambut oleh sesiapa untuk beri panduan, (itu) suatu perkara besar. Saya harap lebih ramai menteri, ahli politik atau penjawat awam kanan tinggalkan amalan menunjuk-nunjuk dan kadangkala membazir ini.
“Saya harap ahli-ahli politik kanan dalam kerajaan lantang tegaskan bahawa kita perlu hentikan amalan ini,” katanya.
Menurut Rafizi, penjawat awam tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini kerana mereka telah dididik untuk mengamalkan budaya kerja sedemikian.
“Saya rasa, apabila kita terus persenda dan dedahkan amalan sebegini, terutamanya dengan adanya platform seperti TikTok, jadikan ia tular, akan cetus reaksi lebih segera daripada pihak di Putrajaya.
“Harapnya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, kita akan dapat lihat makin berkurangan amalan ini,” katanya.
Rafizi berkata, usaha kerajaan menstruktur semula perkhidmatan awam serta mengurangkan mesyuarat dan birokrasi yang tidak relevan sering menerima rintangan.
“Selalunya, rintangan tersebut amat kuat, bimbang ia menyinggung pengundi,” katanya.
“Ini kerana, jika kita tutup sebuah agensi, yang ada 200 orang di sana, mereka akan hilang kerja, dan (keadaan) akan jadi buruk jika tiga daripada mereka tular di TikTok.”