‘Tol percuma’, suami isteri diberkas guna kad TnG digodam

‘Tol percuma’, suami isteri diberkas guna kad TnG digodam

Kad itu dibeli daripada seorang lelaki tempatan yang masih bebas yang menggodam guna perisian khas.

Alzafny Ahmad
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata pihaknya sedang memburu pembekal kad TnG digodam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Suami isteri ditahan selepas dipercayai menggunakan kad Touch n Go (TnG) digodam untuk pembayaran tol sejak lebih setahun lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata lelaki warga tempatan dan isteri seorang warga China diberkas pada 9 Sept susulan aduan pihak TnG, yang sebelum ini mengenal pasti ketidakseimbangan hasil kutipan dan tuntutan beberapa plaza tol.

Menurut Harian Metro, kad itu adalah kad TnG yang asli, namun digodam dengan memasukkan nilai sehingga RM300 sebelum menjualnya pada kadar RM150 ke RM200 sekeping.

Alzafny berkata, kad berkenaan dibeli daripada seorang lelaki tempatan yang masih bebas yang mana menggunakan perisian khas yang boleh dibeli secara atas talian.

“Kad ini adalah asli, namun digodam menggunakan dua perisian khas oleh lelaki berkenaan. Kami tidak nafikan yang suspek ini mungkin menjual kad ini kepada pihak lain juga.

“Sebanyak 213 kad disahkan pihak TnG dengan jumlah kerugian mencecah RM59,920 bagi Julai dan Ogos akibat syarikat ini sahaja, namun masih terdapat kerugian lain yang sedang disiasat,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu pembekal kad berkenaan, manakala dua suspek berkenaan direman empat hari sehingga 13 Sept bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.