
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata lelaki berusia 42 tahun yang memandu Perodua Bezza itu ditahan pada 8.15 pagi semalam.
Beliau berkata pemandu terbabit dikesan melanggar lampu isyarat merah di lokasi berkenaan dari arah Jalan Kinabalu menghala ke Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka.
“Akibat perbuatan itu, pemandu kereta terbabit hampir melanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintas di laluan lintasan jalan berkenaan.
“Pemandu itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.
Terdahulu, video kejadian tular berdurasi 32 saat itu menunjukkan kereta terbabit dipandu secara melulu di lorong kanan dan hampir melanggar seorang pejalan kaki wanita.
Kejadian menyebabkan barang yang dibawanya terjatuh di atas jalan namun kejadian itu dipercayai tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
Selain itu, Mohamed Usuf Jan turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lanjut untuk menghubungi polis.
“Orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/0269, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.