
Presidennya, Dr Subramaniam Muniandy berkata, isu kontrak doktor yang berlarutan sekian lama juga belum selesai dan berdasarkan keadaan semasa, ia dijangka dibiarkan “tergantung”.
“MMA berharap ketika negara berdepan ketidaktentuan berhubung kepimpinannya, isu berbangkit ini tidak harus dilupakan. Sesiapa sahaja kerajaan pada hari ini perlu memastikan kesejahteraan kakitangan kesihatan kekal berada pada tahap teratas, terutama ketika negara berdepan pandemik.
“Landskap politik mungkin berubah, tetapi tidak banyak perubahan buat petugas sektor kesihatan kita yang mengalami ‘burnout’, kekurangan tenaga kerja, katil, oksigen dan peralatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, walaupun ada yang menjangkakan kes kemasukan ke hospital berkurangan akhir bulan ini susulan peningkatan kadar vaksinasi, hospital awam masih sesak kerana beberapa negeri mula menunjukkan peningkatan kes harian Covid-19.
“Kita sudah kehilangan hampir 400 doktor junior yang ‘menyerah kalah’ sementara kesabaran rakan mereka yang lain semakin tipis. Mungkin hanya sedikit masa lagi mereka juga akan bertindak sedemikian.”
Subramaniam berkata, kerajaan tidak boleh memandang ringan isu itu kerana kekecewaan yang semakin menebal dalam kalangan petugas barisan hadapan akan memberi kesan serius terhadap standard rawatan dalam sistem kesihatan negara.
“Pekerja sektor kesihatan kita nampaknya dianggap dipergunakan. Ramai yang berasa perkhidmatan mereka hanya diperlukan sekarang kerana Covid-19.
“Sumpah Hippokratik sering dilaungkan, tetapi rakan-rakan kita ditekan sehingga ke paras maksimum. Ramai juga yang terkorban akibat jangkitan Covid-19.”
Beliau turut kecewa perbincangan mengenai dasar kesihatan belum direalisasikan, walaupun Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berjanji akan mengundang MMA untuk berunding.
“Belum ada yang berlaku sehingga saat ini. Tanpa mengira kesan terhadap tampuk pentadbiran negara, perkara ini perlu disegerakan.”