
Dalam satu kenyataan, syarikat minyak dan gas negara itu berkata PSC ditandatangani dengan Staatsolie Maatschappij Suriname NV (Staatsolie), Paradise Oil Company NV (POC) dan rakan kongsi konsortium Chevron Suriname Exploration Ltd (Chevron) dan QatarEnergy International E&P LLC (QatarEnergy).
“PSC itu diberikan sebagai sebahagian daripada Pusingan Bidaan Suriname Post Shallow Offshore 2 2024-2025, susulan kejayaan bidaan daripada konsortium berkenaan,” katanya.
Petronas berkata PSC itu merupakan satu pencapaian penting dalam usaha berterusan syarikat berkenaan bagi mengembangkan operasinya di Lembangan Suriname-Guyana, sebuah wilayah yang diiktiraf di peringkat global kerana potensinya dalam sumber hidrokarbon.
Ia berkata Blok 9 dan 10 meliputi keluasan gabungan kira-kira 5,456km persegi dan terletak secara strategik di antara kawasan penemuan laut dalam yang telah terbukti serta medan pengeluaran daratan.
“Di bawah PSC berkenaan, Petronas memegang 30% kepentingan penyertaan dan bertindak sebagai pengendali untuk Blok 9, manakala Chevron dan QatarEnergy masing-masing menguasai 20% dan POC memegang 30%.
“Bagi Blok 10 pula, Petronas memegang 30% kepentingan penyertaan, manakala Chevron bertindak sebagai pengendali dengan 30%, QatarEnergy 30% dan POC 10%,” katanya.
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Paramaribo, Suriname dengan Petronas diwakili oleh Pengerusi Negara PSEPBV Danny Tan Chern Han.
Staatsolie diwakili oleh Pengarah Urusannya Annand Jagesar; Chevron oleh Pengarah Eksplorasi Sempadan Andrew Deighan; QatarEnergy oleh Pengurus Huluan dan Eksplorasi Antarabangsa Ali Al-Mana; manakala POC diwakili oleh Pengarahnya Rekha Bissumbhar.
Naib Presiden Eksplorasi Petronas Faisal Bakar berkata, “Petronas memberi tumpuan untuk mengembangkan kehadiran kami di Suriname dan kami mengucapkan terima kasih kepada Staatsolie dan kerajaan Suriname di atas sokongan berterusan mereka.”
Beliau berkata berdasarkan kejayaan terkini Petronas dan aspirasi untuk berkembang di negara itu, syarikat minyak dan gas Malaysia sedang membuat persiapan untuk aktiviti penerokaan yang akan datang.
“Pengembangan ke Blok 9 dan 10 mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi luar pesisir Suriname dan komitmen kami untuk mewujudkan nilai yang mampan bagi negara dan rakyatnya,” kata beliau.
Petronas berkata PSC itu juga merangkumi peruntukan untuk menyokong penyertaan tenaga kerja tempatan dan pelaburan sosial, memperkukuh komitmen syarikat terhadap pembangunan tenaga yang bertanggungjawab selaras dengan matlamat kebangsaan Suriname.
“Dengan penambahan Blok 9 dan 10, bersama-sama dengan pemeteraian Blok 66 baru-baru ini pada Jun 2025, Petronas kini memegang kepentingan dalam lapan blok luar pesisir di Suriname, memperkukuh jejaknya dalam landskap penerokaan luar pesisir negara itu dan kedudukannya sebagai pemain tenaga global,” tambahnya.