
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, berkata perbahasan dan pengungkaian ordinan berkenaan di sidang Parlimen diharap dapat menyelesaikan polemik pembatalannya secara “harmoni dan berperlembagaan.”
“Satu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parilmen pada September,” katanya dalam kenyataan.
Pada 29 Julai lalu, Muhiyiddin berkata semua Ordinan Darurat berkenaan tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya.
Ketika itu, Muhyiddin berkata semua tindakan kerajaan berhubung pembatalan itu adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata kerajaan bersetuju untuk Ordinan Darurat berkenaan dibahas dan diungkai di Parlimen kerana ia selaras dengan titah Agong dan peruntukan Perlembagaan.
“Proses pembatalan Ordinan-ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai lalu tidak dapat disempurnakan,” katanya.
“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos, pembatalan Ordinan-ordinan Darurat oleh Agong tidak lagi berbangkit,” menurut Muhyiddin.
Justeru, kata beliau, usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat berkenaan boleh dibentang pada persidangan Parlimen bulan depan.
“Usul (mengenai Ordinan Darurat) ini yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat secara harmoni dan berperlembagaan,” kata beliau.
Minggu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.
Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Idrus Harun, bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.
Susulan kenyataan baginda, Muhyiddin berkata semua tindakan yang diambil kerajaan berhubung pembatalan Ordinan-ordinan darurat adalah teratur.
Ketika itu, beliau berkata pihaknya turut memaklumkan Istana Negara, tidak ada keperluan untuk ordinan berkenaan diungkai di Dewan Rakyat.
“Perdana Menteri juga menyembah maklum (kepada Agong) pandangan kerajaan bahawa semua Ordinan Darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri sudah menasihati Agong untuk membatalkannya,” menurut kenyataan Muhyiddin pada 29 Julai.
Isu pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Agong dikritik pelbagai pihak, khususnya pembangkang yang menuduh kerajaan pimpinan Muhyiddin “derhaka” kepada Istana Negara dan menuntut beliau serta Kabinetnya meletak jawatan serta-merta.
Bagaimanapun, pemimpin kerajaan rata-rata menolak tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan terdesak pembangkang untuk merampas kuasa.
Semalam, 107 Ahli Parlimen pembangkang mengadakan tunjuk perasaan di Dataran Merdeka, membantah tindakan Muhyiddin menangguhkan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara ke tarikh yang belum ditentukan kerana risiko Covid-19.