Tiada Ahli Parlimen pembangkang isytihar harta, kata pengerusi Bersih

Tiada Ahli Parlimen pembangkang isytihar harta, kata pengerusi Bersih

Faisal Abdul Aziz berkata setakat ini hanya wakil rakyat PKR berbuat demikian.

faisal
Faisal Abdul Aziz berkata ‘kita memerlukan ahli politik mengisytiharkan harta dan bukan beri alasan’. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen pembangkang masih belum mengisytiharkan harta mereka meskipun desakan berulang kali daripada masyarakat sivil untuk berbuat demikian, dakwa pengerusi badan pemantau pilihan raya.

Faisal Abdul Aziz daripada Bersih, berkata satu-satunya pihak berbuat demikian setakat ini adalah ahli politik PKR, yang menjadi komponen dalam Pakatan Harapan (PH). Beliau berkata, besar kemungkinan tindakan itu disebabkan budaya ketelusan dalam parti berkenaan.

Majoriti daripada 72 calon PKR telah mengisytiharkan harta mereka pada November 2022, termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail serta timbalan presiden ketika itu, Rafizi Ramli.

Sekutu PKR, DAP berkata ia tidak mempunyai sebarang rancangan mewajibkan calon PRU15 mereka mengisytiharkan harta, walaupun wakil rakyat terpilih akan dikehendaki berbuat demikian.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengetuai Muda pada waktu itu juga telah mengisytiharkan harta.

“Ahli-ahli Parlimen pembangkang masih belum buat. Sebelum ini, PAS pernah kata ia tidak akan mengisytiharkan harta, selari dengan prinsip-prinsip Islam,” kata Faisal, merujuk kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, pada 2019.

Tuan Ibrahim pada masa itu menyatakan menghebahkan kekayaan seseorang kepada umum boleh membahayakan keselamatan diri dan menimbulkan rasa dengki.

Komen beliau dibuat ketika menyatakan penentangan parti terhadap cadangan agar Ahli Parlimen, bersama pasangan dan anak-anak mereka, mengisytiharkan harta.

Namun, Faisal menjawab: “Kita memerlukan ahli politik mengisytiharkan harta dan bukan beri alasan.”

Khamis lalu, Bersih mendesak calon PRN Sabah bulan hadapan mengisytiharkan harta demi ketelusan yang lebih tinggi, terutamanya berkait sumber dana kempen diterima calon.

Raymon Ram.
Raymon Ram.

Presiden Transparency International Malaysia, Raymon Ram, berkata ‘mengecewakan’ kerana ramai ahli politik belum mengisytiharkan harta, walaupun terdapat desakan berterusan ke arah itu.

“Orang ramai berhak mengetahui kedudukan kewangan dan sumber dana kempen pihak yang ingin memimpin,” katanya.

Walaupun beliau menuntut calon PRN Sabah yang akan datang mengisytiharkan harta dan dana kempen secara sukarela dengan menyifatkan sebagai ‘demonstrasi asas ketelusan, kebertanggungjawaban, dan integriti”, Ram mengakui ia tidak mencukupi.

Beliau berkata, Malaysia masih kekurangan rangka kerja perundangan yang jelas mentadbir hal berkait pengisytiharan harta dan pembiayaan politik.

“Tanpa adanya undang-undang sedemikian, pengisytiharan kekal tidak konsisten dan bergantung kepada kemahuan politik.”

Beliau berkata, pilihan raya yang bersih tidak boleh hanya bergantung pada niat baik semata-mata, ia mesti disokong undang-undang yang boleh dikuatkuasakan, memandangkan ketelusan tidak sepatutnya menjadi sekadar pilihan.

Maria Chin Abdullah.

Bekas pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah, berkata kerajaan wajar membentangkan Rang Undang-undang (RUU) pembiayaan politik tahun ini.

“Masih tiada undang-undang untuk memaksa ahli politik mengisytiharkan harta,” kata bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu.

Beliau turut menyeru agar undang-undang itu dibentangkan sebelum PRU akan datang.

Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata sukar meluluskan RUU pembiayaan politik sebelum PRU akan datang, kerana maklum balas yang lebih banyak masih diperlukan, terutamanya daripada masyarakat sivil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.