
Titah dizahirkan susulan kejadian rogol di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini dan Seri Paduka Baginda memandang serius kejadian itu.
“Kementerian Pendidikan boleh melihat kepada keberkesanan modul bawah kempen TinDak dalam usaha mewujudkan persekitaran sekolah lebih selamat serta penglibatan secara bersama ibu bapa.
“Saya juga akan membantu dalam perkara ini selain menitahkan Universiti Teknologi Malaysia menjalankan satu kajian mengenai pengaruh media sosial ke atas murid dan pelajar,” titah Raja Zarith Sofiah menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, hari ini.
Terdahulu, Raja Permaisuri Agong berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Istana Negara yang berlangsung hampir dua jam.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) Rusmini Ku Ahmad dan Pengarah Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Raja Zarith Sofiah turut berkenan mengimbau pelancaran kempen TinDak bawah kelolaan Johor Women’s League (Jewel) pada Mei 2017 yang memfokuskan kepada usaha perlindungan kanak-kanak daripada penganiayaan serta gangguan seksual.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda bertitah sekolah sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, termasuk penggunaan internet dan media sosial dalam kalangan murid dan pelajar, selain menilai semula pendekatan sedia ada supaya seiring dengan perubahan zaman.
Dalam pertemuan itu, Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan pelbagai pandangan, antaranya mengenai pendidikan disiplin, peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengaruh media sosial terhadap murid dan pelajar.