
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata prosiding pengurusan kenderaan diadakan 3 Nov lalu dengan memanggil Kementerian Kewangan (MoF), sementara prosiding sistem e-Jamin berlangsung 4 Nov lalu melibatkan ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan.
“Berhubung perjanjian konsesi kerajaan di bawah MoF, PAC akan memanggil pihak Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri selaku tiga kementerian memiliki kenderaan tertinggi di bawah perjanjian konsesi itu.
“PAC juga akan memanggil syarikat Spanco Sdn Bhd dalam prosiding nanti,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.
Mas Ermieyati berkata berhubung sistem e-Jamin, PAC akan meneruskan prosiding seterusnya dengan memanggil Dapat Vista (M) Sdn Bhd selaku kontraktor membangunkan sistem itu serta ketua setiausaha Perbendaharaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Sementara itu, beliau berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul bersetuju dengan cadangan PAC menganjurkan Persidangan PAC Kebangsaan tahun depan.
Katanya ia susulan perjumpaan bersama pengerusi PAC negeri, setiausaha serta wakil setiausaha Dewan Undangan Negeri hari ini, antaranya bagi memperkukuh jaringan kerjasama dan perkongsian tadbir urus antara PAC Parlimen dan negeri.