
Pindaan itu akan membatalkan kadar pemberian semasa di bawah Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Akta 622), yang berkuat kuasa sejak 1 Jan 2002.
“MoF sedang dalam tindakan untuk membuat pindaan kepada perkara ini dan akan membentangkan RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang pada sesi Parlimen yang berikutnya,” katanya dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.
MoF menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berhubung perancangan membawa usul berkenaan di Parlimen, sebagaimana yang diumumkan pada Mac.
Kadar pemberian mengikut bilangan orang (capitation grant) akan dinaikkan 25%, atau RM109 juta kepada RM548 juta, berkuat kuasa mulai 2026, umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas kadar baharu itu diluluskan Mesyuarat Kewangan Negara pada 6 Mac.
Ia julung kali kadar geran dikaji semula sejak 2002, mencerminkan komitmen pentadbiran beliau membantu kerajaan negeri menyempurnakan perkhidmatan kepada rakyat, katanya.
Dalam pada itu, MoF dalam laporan 10 Sept menerangkan kenaikan dibuat selepas mengambil kira maklum balas kerajaan negeri.
Katanya, kenaikan kadar geran per kapita dilaksanakan secara progresif, iaitu kenaikan 42% untuk 100,000 penduduk pertama, 37% bagi 500,000 orang berikutnya, dan 25% bagi 500,000 seterusnya, serta 15% bagi penduduk selebihnya.
Kenaikan itu merupakan langkah progresif bagi memastikan peratusan kenaikan pemberian lebih tinggi kepada negeri mempunyai penduduk lebih rendah seperti Perlis dan Melaka, berbanding negeri mempunyai penduduk lebih ramai seperti Selangor dan Johor yang mempunyai sumber kewangan lebih kukuh, katanya.