
Namun Wong Shu Qi (PH-Kluang) berpendapat ia demi kebaikan kerana tiada program baharu atau pakej tambahan hanya untuk membeli hati rakyat.

Menurutnya, rakyat sudah lama terbiasa dengan belanjawan gula-gula dengan tumpuan sering diberikan kepada bantuan tunai semata-mata.
“Jarang sekali kita bertanya wang diberi itu datang dari mana.
“Justeru, saya boleh simpulkan Belanjawan 2026 ini membosankan tetapi demi kebaikan,” katanya pada perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Wakil rakyat DAP itu menyambut baik pendekatan kerajaan kekal dengan hala tuju ekonomi sudah ditetapkan bagi menaikkan siling dan menaikkan lantai.
“Ini bermakna program ekonomi terbukti berkesan akan diteruskan seperti Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang naik daripada RM40 bilion kepada RM50 bilion,” katanya.
Beliau turut menarik perhatian kepada peningkatan Perbelanjaan Pembangunan (DE) kepada RM57.6 bilion, bersamaan 71% daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan.