
Peguam Momoh, V Vemal Arasan berkata, merit kes akan didengar lebih awal daripada jangkaan kerana peguam negara tidak membantah permohonan itu.
“Kami akan memfailkan kes dalam tempoh 14 hari dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya kepada FMT selepas prosiding di hadapan hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini.
Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Liyana Muhammad Fuad mewakili AGC.
Vemal, yang dibantu oleh James Joshua Paulraj berkata, peguam kerajaan juga menyerahkan pas khas daripada Jabatan Imigresen bagi membolehkan Momoh terus berada di negara ini sehingga kes diselesaikan.
Bulan lepas, Momoh memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan menarik balik pas dan memerintahkan beliau dideportasi.
Ketua pengarah imigresen dan menteri dalam negeri dinamakan sebagai responden.
Momoh dilepaskan pada 23 April selepas ditahan selama 40 hari di depot Imigresen Semenyih. Beliau pada mulanya ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk pada Mac di sekatan jalan raya di Cheras.
Selepas didenda dan dipenjarakan sehari oleh mahkamah, jabatan terbabit membatalkan pas khasnya dan mengarahkan Momoh dideportasi.
Pembebasannya adalah susulan pendengaran habeas corpus dengan hakim Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan penahanan Momoh selama 40 hari bercanggah dengan perlembagaan dan melanggar prosedur.
Perintah deportasi Momoh diemel kepada isterinya Low Kar Hui pada 14 April. Jabatan mengarahkan Low membuat persiapan untuk penghantaran pulang suaminya ke Nigeria.
Menurut perintah itu Momoh dianggap pendatang asing tanpa izin.