Lelaki Myanmar dibebaskan tuduhan bunuh teman wanita

Lelaki Myanmar dibebaskan tuduhan bunuh teman wanita

Pesuruhjaya Kehakiman berkata, keterangan diberikan bercanggah dan senjata digunakan untuk membunuh tidak dikemukakan.

Mahkamah Tinggi George Town memutuskan tiada kes prima facie terhadap Aung Kyaw Saw bagi tuduhan membunuh teman wanitanya.
GEORGE TOWN:
Seorang lelaki Myanmar dilepaskan dan dibebaskan tanpa membela diri atas tuduhan membunuh teman wanitanya di flat mereka di Bukit Mertajam, empat tahun lalu.

Mahkamah Tinggi membebaskan Aung Kyaw Saw selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Saw, 37, didakwa membunuh Tin Mar Moe, 20, di kediaman mereka di Taman Belimbing pada 7.30 malam, 26 Mei 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati sekiranya sabit kesalahan.

Pasangan itu sama-sama bekerja di sebuah kilang elektronik di Seberang Perai.

Ketika mengarahkan Saw dibebaskan, mahkamah berkata, keterangan saksi dan dapatan forensik amat bercanggah, manakala bahan bukti penting seperti senjata digunakan tidak dikemukakan di mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Radzi Abdul Hamid berkata, pernyataan saksi oleh seorang pemandu bas kilang mendakwa Saw memegang leher Moe dan menikamnya sekali menggunakan pisau.

Bagaimanapun, kata beliau, pakar patologi dalam keterangannya berkata, mayat Moe mempunyai enam kesan tikaman, dua kesan kelar dan empat kesan melecet.
Tambah pakar patologi itu, mangsa melawan sebelum dibunuh.

Radzi berkata, tidak selamat untuk mahkamah bergantung pada keterangan pemandu bas berkenaan disebabkan bukti yang tidak konsisten.

Menurutnya, bahan bukti seperti pisau yang disyaki digunakan dalam pembunuhan itu, serta pakaian yang berlumuran darah juga tidak dihantar kepada pakar forensik untuk ujian DNA dan profil darah.

Radzi berkata, pegawai penyiasat kemudian mendedahkan bahan bukti telah hilang daripada simpanan polis.

Peguam K Simon Murali mewakili Saw manakala Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul mengendalikan pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.