
Beliau berkata, kerajaan dukacita di saat semua jentera menumpukan usaha memerangi Covid-19, terdapat sesetengah pihak yang cuba membuat tafsiran undang-undang mengikut selera sendiri, seolah-olah bertujuan meraih populariti rakyat.
“Sebagai badan profesional bidang undang-undang, saya yakin Majlis Peguam tetap mendukung prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara serta akan terus menentang usaha-usaha memesongkan kehendak undang-undang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Takiyuddin berkata, perlu ditekankan bahawa Ordinan Darurat hanyalah terpakai ketika negara berada di dalam tempoh Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos 2021.
“Kerajaan mengharapkan langkah yang semata-mata menumpukan kepada aspek kesihatan, ekonomi dan sosial ini difahami sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat demi kebaikan individu, masyarakat, komuniti dan negara keseluruhannya,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Takiyuddin sekali lagi menjelaskan suasana Darurat dari segi undang-undang adalah apabila Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan.
“Maka berdasarkan peruntukan Perkara 150(1), Baginda telah mengisytiharkan suatu Proklamasi Darurat pada 11 Januari 2021, berkuat kuasa hingga 1 Ogos 2021, selama sekitar 6 bulan 20 hari.
“Darurat besar tersebut adalah ekoran penularan pandemik Covid-19 sejak setahun lebih yang lalu, dan langkah ini jelas usaha serius dan berfokus Kerajaan dalam rangka memperkasakan usaha membasmi wabak Covid-19 ini termasuk menggubal dengan segera Ordinan yang perlu semasa tempoh darurat,” jelasnya.
Sabtu lalu, Badan Peguam Malaysia dilaporkan memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan bagi membatalkan beberapa bahagian dalam Ordinan Darurat, selain supaya perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.
Tindakan undang-undang itu memohon deklarasi melibatkan beberapa peruntukan berkaitan proklamasi darurat, yang menurut badan itu terlalu luas serta tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Badan Peguam Malaysia, AG Kalidas berkata, tindakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.