Peruntukan badan kehakiman penting untuk fungsi semak dan imbang, kata peguam

Peruntukan badan kehakiman penting untuk fungsi semak dan imbang, kata peguam

Tiga bekas presiden Majlis Peguam Malaysia berkata perdana menteri tidak harus ada peranan dalam pelantikan hakim bagi kekal kebebasan badan kehakiman.

zainur zakaria
Bekas presiden Majlis Peguam, Zainur Zakaria berkata Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 memperuntukkan bahawa perdana menteri bertanggungjawab memastikan badan kehakiman diberikan peruntukan yang mencukupi.
PETALING JAYA:
Tiga peguam kanan menggesa eksekutif menyediakan peruntukan yang mencukupi kepada badan kehakiman, dengan menegaskan bahawa perbelanjaan wang pembayar cukai mesti mencerminkan komitmen awam terhadap kebebasan kehakiman.

Mereka yang juga bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, berkata badan kehakiman, berdasarkan reka bentuk perlembagaan, berfungsi sebagai cabang kerajaan yang bebas serta bertindak sebagai semak dan imbang kepada eksekutif dan legislatif.

Kata mereka, ini bermaksud hakim tidak tunduk atau bergantung kepada perdana menteri selaku ketua eksekutif.

Peranan paling penting badan kehakiman, kata mereka, adalah untuk melindungi keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan memastikan semua orang mematuhi undang-undang yang digubal Parlimen.

Menurut mereka, mandat ini membolehkan badan kehakiman melindungi hak asasi yang dijamin kepada semua warganegara oleh Perlembagaan serta memastikan mahkamah dapat menghalang penyalahgunaan kuasa oleh eksekutif dan legislatif.

Zainur Zakaria berkata dana mesti diperuntukan kepada badan kehakiman, sambil menekankan ia turut menyumbang kepada hasil kerajaan menerusi denda, serta yuran pemfailan dan yuran allocatur.

“Peruntukan untuk menampung operasi badan kehakiman sepatutnya tidak menjadi masalah — tetapi badan kehakiman mesti menegaskan kebebasannya,” katanya.

Zainur berkata badan kehakiman harus bersuara sekiranya kekurangan dana atau jika peruntukan dilengahkan.

Beliau berkata Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 — yang menyeru perdana menteri mengekalkan kebebasan badan kehakiman — memberi maksud bahawa beliau mesti memastikan peruntukan yang mencukupi disediakan.

Zainur mengulas kenyataan ahli akademik dari Ulster University, Venkat Iyer yang berkata kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan akan menjadikan badan kehakiman sentiasa terdedah kepada pengaruh eksekutif.

Dalam satu syarahan awam di Kuala Lumpur awal bulan ini, Iyer berkata adalah tidak realistik untuk mengharapkan badan kehakiman dan proses pelantikan kehakiman benar-benar bebas daripada pengaruh eksekutif.

Iyer turut mempertahankan peranan perdana menteri dalam pemilihan hakim, dengan berkata ketua eksekutif sebagai pegawai yang dipilih rakyat dengan mandat untuk mereformasi sistem kehakiman, mempunyai hak yang sah dalam pelantikan.

Ragunath Kesavan tidak bersetuju, dengan menegaskan bahawa pembiayaan bukanlah budi bicara eksekutif sebaliknya satu kewajipan undang-undang dan perlembagaan yang tersirat untuk mengekalkan keberkesanan badan kehakiman.

Ragunath Kesavan
Ragunath Kesavan.

“Sudah pasti, badan kehakiman memerlukan dana tetapi itu tidak bermakna eksekutif mesti mempunyai kata putus dalam pelantikan kehakiman,” katanya.

Beliau berkata kerajaan yang memerintah akan memperoleh sokongan awam yang besar sekiranya memastikan badan kehakiman mempunyai keyakinan menyeluruh serta kepercayaan institusi.

“Komuniti perniagaan akan mempromosikan negara sebagai destinasi pelaburan ideal apabila pertikaian komersial dapat diselesaikan secara adil dan saksama,” katanya.

Ragunath turut berkata semakan terhadap gaji dan elaun hakim, termasuk pemberian kenaikan tahunan, perlu dilakukan, sambil menegaskan bahawa pelarasan terakhir dibuat hampir 10 tahun lalu.

Khutubul Zaman Bukhari
Kuthubul Zaman Bukhari.

Kuthubul Zaman Bukhari turut menolak pandangan Iyer, dengan menegaskan bahawa perdana menteri tidak seharusnya mempunyai sebarang peranan dalam pelantikan hakim.

Beliau berkata penglibatan perdana menteri menimbulkan persepsi wujudnya ‘pertimbangan lain’ ketika hakim, khususnya yang memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman, dilantik.

“Sudah tiba masanya perdana menteri tidak memainkan sebarang fungsi dalam pelantikan kehakiman, seperti di beberapa bidang kuasa Komanwel lain,” katanya.

Kuthubul berkata sistem sedia ada yang melibatkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman adalah baik, namun beliau mencadangkan supaya jawatankuasa pemilihan yang bertanggungjawab menilai calon diperbesarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.