114 maut, Filipina isytihar darurat dibadai Taufan Kalmaegi

114 maut, Filipina isytihar darurat dibadai Taufan Kalmaegi

Pengisytiharan itu bagi percepat usaha mencari dan menyelamat, bantuan serta pemulihan, akses kepada dana kecemasan dan memperkemas proses perolehan.

Pasukan kecemasan mengeluarkan mayat mangsa tanah runtuh di Sapangdaku, Cebu, pada Khamis akibat hujan lebat selepas dibadai Taufan Kalmaegi. (Gambar EPA Images)
ANKARA:
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr mengisytiharkan darurat pada Khamis susulan kemusnahan akibat Taufan Kalmaegi yang meragut 114 nyawa dan menyebabkan 127 individu hilang, menurut angka terkini.

Anadolu Ajansi melaporkan keputusan itu dibuat semasa taklimat Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional berdasarkan kenyataan rasmi Pejabat Presiden.

Marcos berkata, pengisytiharan itu akan mempercepatkan usaha mencari dan menyelamat, bantuan serta pemulihan, akses kepada dana kecemasan dan memperkemas proses perolehan.

“Disebabkan skala kawasan terjejas oleh Taufan Tino dan yang akan terjejas oleh (Taufan) Uwan, terdapat cadangan daripada majlis yang saya luluskan bahawa kita akan mengisytiharkan bencana negara,” kata Marcos.

Beliau berkata, 10 hingga 12 wilayah dijangka terjejas dengan dua taufan itu, ketika Filipina turut bersiap sedia menghadapi Taufan Uwan.

Media tempatan The Inquirer memetik Diego Mariano, timbalan jurucakap Pejabat Pertahanan Awam sebagai berkata, 82 cedera di Central Visayas, kawasan paling teruk terjejas.

Taufan itu yang dikenali masyarakat tempatan sebagai Taufan Tino merosakkan bumbung, menumbangkan pokok serta tiang elektrik dan mencetuskan banjir besar.

Kalmaegi meninggalkan negara itu pada pagi Khamis, namun masih membawa hujan di beberapa bahagian Luzon dan wilayah Mindanao, menurut agensi cuaca negara itu.

Lebih 500,000 orang dipindahkan dengan lebih 1.4 juta terjejas di Central Visayas, termasuk sebahagian wilayah Cebu.

Banjir besar dan tanah runtuh menyebabkan jalan raya di kawasan terpencil terputus, manakala beberapa perbandaran mengalami gangguan bekalan elektrik.

Kemusnahan ini berlaku selepas gempa kuat bermagnitud 6.9 melanda Cebu 30 Sept lalu yang meragut banyak nyawa dan memaksa ribuan penduduk dipindahkan.

Menurut pihak berkuasa, bantuan disalurkan secara berterusan dan pasukan penyelamat berusaha memasuki kawasan terpencil yang terputus hubungan akibat banjir serta tanah runtuh.

Taufan Kalmaegi melanda wilayah Visayas dua kali pada awal Selasa, pertama di Southern Leyte dan kemudian di Cebu.

Ia dijangka kembali mengumpul kekuatan di Laut China Selatan sebelum menuju Vietnam dan pihak berkuasa kini membuat persiapan menjelang ketibaannya pada Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.