
Peguam enggan dikenali itu berkata, firma guaman sering menjauhkan diri daripada terlibat secara langsung dengan menggunakan ‘runner’ atau ejen untuk mencari pelanggan berpotensi di hospital, kompleks mahkamah, balai polis dan pejabat awam lain.
“Sebahagian ejen ini mempunyai kaitan dengan orang dalam di jabatan dan agensi kerajaan yang memberikan maklumat awal mengenai kes berpotensi,” kata peguam itu kepada FMT.
“Bagi sesetengah firma, perkara ini sudah menjadi sumber pendapatan utama mereka.”
Dalam kes berkaitan kemalangan, peguam itu berkata ada firma yang sanggup menawarkan mangsa wang pendahuluan — yang disifatkan sebagai pinjaman ‘mesra’ — kemudian ditolak daripada pampasan penyelesaian. Dalam sesetengah keadaan, faedah turut dikenakan ke atas pinjaman itu, sekali gus menambahkan lagi beban mangsa.
“Pelanggan yang terdesak selalunya menerima tawaran ini tanpa benar-benar memahami syaratnya,” kata peguam itu. “Oleh kerana peguam serta firma mereka jarang berunding secara langsung, sukar untuk menuntut mereka bertanggungjawab.”
Peguam itu berkata demikian selepas Majlis Peguam mengeluarkan pekeliling amaran terhadap amalan ‘ulat mahkamah’, yang digambarkan sebagai perbuatan tidak beretika, mencemarkan reputasi profesion guaman serta menghakis keyakinan terhadap pentadbiran keadilan.
Ia berkata, amalan itu masih berterusan walaupun pelbagai usaha kesedaran berulang kali dilakukan.
“Ahli-ahli diingatkan tentang betapa seriusnya isu ini dan keperluan mendesak untuk tindakan kolektif bagi membanteras amalan tidak beretika sebegini.
“Touting adalah satu kesalahan bawah Seksyen 15A Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, iaitu kesalahan yang boleh dihukum dengan denda, penjara atau kedua-duanya sekali,” kata pekeliling itu, sambil memberi amaran peguam tidak dibenarkan menawarkan perkhidmatan mereka atau berkeliaran di dalam atau berhampiran pejabat mana-mana pihak berkuasa kerajaan atau awam.
“Sebagai pegawai mahkamah, ahli Majlis Peguam mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan maruah, etika dan integriti profesion,” katanya, sambil menambah kewaspadaan dan kerjasama mereka dalam melaporkan salah laku itu adalah satu keperluan.
Majlis Peguam turut menggesa ahlinya membuat laporan polis jika melihat atau mengesyaki sebarang perbuatan itu, serta memberikan butiran dan bukti berkaitan kepadanya.