
Arif berkata, had pendapatan tahunan RM36,000 atau RM3,000 sebulan ketika ini terlalu rendah, menyebabkan ramai yang masih bergelut untuk membayar khidmat guaman, khususnya di bandar seperti Kuala Lumpur di mana kos sara hidup tinggi.
“Jika anda berpendapatan kira-kira RM3,500 sebulan dan anda ditangkap serta didakwa (atas sebarang kesalahan), anda mungkin tidak mampu untuk melantik peguam,” katanya pada Konvensyen Bantuan Guaman Malaysia 2025.
“Jika anda membuka fail kes, kosnya akan melebihi pendapatan bulanan anda. Jadi, had (pendapatan) ini perlu bersifat dinamik.
“Saya berpendapat ujian kemampuan (untuk menentukan kelayakan bantuan guaman) seharusnya ditentukan mengikut tempat dan berdasarkan keadaan kes serta pemohon,” katanya.
Panel jemputan yang juga peguam, Sangeet Kaur Deo menolak tanggapan bahawa bantuan guaman adalah satu inisiatif kebajikan. Katanya, peguam bantuan guaman tidak sepatutnya dianggap sebagai ‘peguam kelas kedua’ atau ‘peguam pelatih’.
Beliau berkata, bantuan guaman amat penting bagi mereka yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan undang-undang, dan berpendapat bahawa YBGK tidak sepatutnya dijadikan sebagai tempat latihan untuk peguam memperoleh kemahiran tertentu sebelum beralih ke amalan guaman biasa.
Peguam kanan Shafee Abdullah pula mencadangkan supaya Rang Undang-Undang Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025, yang diluluskan Ogos lalu, menjelaskan dengan tepat kuasa dan tanggungjawab menteri bagi mengelakkan campur tangan eksekutif dalam kes.
Merujuk kepada peranan menteri undang-undang yang diberi kuasa penyeliaan, beliau berkata perkataan ‘penyeliaan’ membawa maksud kuasa yang luas di bawah undang-undang.
Di bawah RUU itu, fungsi YBGK akan diserapkan ke dalam Jabatan Bantuan Guaman di bawah pejabat Ketua Pembelaan Awam. Kerajaan juga akan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada peguam yang berkhidmat di bawah skim YBGK.
RUU itu memansuhkan Akta Bantuan Guaman 1971 (Akta 26) dan menamakan semula perkhidmatan bantuan guaman dalam prosiding jenayah sebagai Perkhidmatan Pembelaan Awam. Ia turut memperkenalkan dua jawatan baharu – Ketua Pembelaan awam dan Pegawai Pembela Awam – menandakan peningkatan penting dalam kerangka bantuan guaman negara.