
Dalam satu pertemuan bersama wakil Jabatan Peguam Negara dan polis pada Ogos lepas, majlis itu mendedahkan terdapat IO yang enggan menerima dokumen, malah mengenakan syarat dan meminta bayaran.
“Majlis Peguam mengulangi pendiriannya bahawa amalan sedemikian tidak boleh diterima,” menurut pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Jenayahnya, Ravi Chandran Subash Chandran dan Vivek Sukumaran dalam satu pekeliling kepada ahli.
Seorang peguam memberitahu FMT, antara dokumen yang terbabit ialah sepina yang dikeluarkan firma guaman, mengarahkan IO hadir sebagai saksi di mahkamah.
“Ada IO yang enggan hadir atau meletakkan syarat seperti menuntut bayaran balik kos penginapan dan makan minum. Malah, ada yang meminta bayaran sebagai insentif untuk hadir,” kata peguam yang enggan namanya disiarkan itu.
Seorang lagi peguam, yang juga tidak mahu dikenali berkata, peguam sering dilengah-lengahkan apabila cuba mendapatkan pendedahan awal keterangan material dan maklumat lain mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah, iaitu tanggungjawab statutori pihak pendakwaan.
“Ini termasuklah laporan siasatan dan keterangan dokumen lain yang akan membentuk sebahagian daripada kes pendakwaan,” jelasnya.
Menurut Majlis Peguam, wakil polis dalam pertemuan itu memberi jaminan bahawa perkara tersebut akan ditangani pada peringkat dalaman.
“Ahli-ahli digalakkan membuat aduan rasmi menerusi aplikasi JIPS polis, atau kepada ketua polis daerah berkaitan bagi memudahkan siasatan segera,” menurut pekeliling bertarikh 22 Okt itu.
Majlis Peguam turut membangkitkan isu kelewatan pendakwaan bagi kesalahan jalan raya tertentu, dengan sesetengah kes masih belum bermula selepas lima tahun.
Menurutnya, kes-kes tersebut melibatkan pendakwaan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian akibat memandu secara cuai atau berbahaya) dan Seksyen 43 (memandu dengan cuai atau tidak bertimbang rasa).
“Wakil Jabatan Peguam Negara memaklumkan, kelewatan sering berpunca daripada laporan kimia, bedah siasat atau forensik yang belum lengkap. Ahli-ahli dinasihatkan supaya menulis terus kepada pejabat pendakwa raya untuk mendapatkan status terkini kes yang sedang disemak,” menurut pekeliling itu.
Pertemuan itu dihadiri oleh Kamal Baharin Omar dan Badius Zaman Ahmad mewakili Jabatan Peguam Negara, manakala polis diwakili oleh Abdul Rahman Atan.
Delegasi Majlis Peguam pula diketuai Naib Presiden Anand Raj.