Elak ditangkap, tokan dadah lari tinggalkan syabu bernilai RM2.1 juta

Elak ditangkap, tokan dadah lari tinggalkan syabu bernilai RM2.1 juta

Tiga suspek itu sedang mengangkat satu guni dari bot ke kenderaan ketika serbuan yang turut berjaya merampas 61kg syabu dan sebuah kenderaan mewah.

Suspek dilaporkan melarikan diri ke arah Thailand melalui sungai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga tokan dadah berputih mata apabila terpaksa melarikan dan meninggalkan 61kg syabu bernilai RM2.1 juta dan sebuah kenderaan mewah selepas kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Dalam jam 8.45 malam semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasukan anggota daripada Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged) menyerbu tiga lelaki di pangkalan haram berhampiran Pos Sega, Sungai Golok, Rantau Panjang, Kelantan.

Memetik laporan Harian Metro, Panglima 8 Briged, Abu Hasan Assha’ari Kamis berkata, ketika serbuan melalui Op Benteng kesemua suspek yang menaiki (MPV) Toyota Velfire itu sedang mengangkat satu guni dari bot ke kenderaan sebelum berjaya melarikan diri ke arah Thailand melalui sungai.

“Hasil pemeriksaan lanjut, anggota menemui satu guni berwarna hitam mempunyai 61 paket serbuk teh jenama Guanyinwang dianggarkan seberat satu kilogram setiap disyaki mengandungi dadah jenis syabu.

“Jumlah rampasan termasuk kenderaan mewah berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM2.3 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Difahamkan, berdasarkan siasatan syabu tersebut untuk dijual di pasaran tempatan termasuk beberapa negeri luar Kelantan.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan agensi keselamatan lain untuk mengenal pasti ketiga-tiga suspek.

Tambahnya, rampasan berkenaan memberi impak signifikan terhadap kejayaan keseluruhan Op Benteng dalam memperkukuhkan persempadanan negara sewaktu dilanda pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.