Lelaki mengaku salah dera anak kekasih berusia 7 bulan

Lelaki mengaku salah dera anak kekasih berusia 7 bulan

Dia didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada dahi, bahagian bawah mata dan bahagian perut mangsa 6 Mac lalu.

Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan 6 Mac lalu. (Gambar Reuters)
BUTTERWORTH:
Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada anak lelaki kekasihnya yang berusia tujuh bulan awal bulan ini.

Muhammad Fakhri Abdul Muthalib, 25, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi itu, menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan lebam pada dahi, bahagian bawah mata dan bahagian perut mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik sebuah pangsapuri di Jalan Harbour Place di sini pada 9 malam, 6 Mac lalu.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, sekiranya sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun belum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh kerana menunggu laporan perubatan mangsa daripada Hospital Seberang Jaya.

Hakim Noor Aini Yusof membenarkan Muhammad Fakhri diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.