Didakwa dera bayi, 2 bekas pengasuh mengaku tak salah

Didakwa dera bayi, 2 bekas pengasuh mengaku tak salah

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada di Taska Sayangku Harma, Kampung Raja, 5 Sept lepas.

Wan Zaharah Wan Mahmud, 50, dan Nuraihan Rozelan, 26, didakwa di Mahkamah Sesyen Besut kerana menganiaya seorang bayi sehingga mendatangkan kecederaan. (Gambar Bernama)
JERTIH:
Dua bekas pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Besut atas tuduhan mendera seorang bayi perempuan di sebuah taska awal bulan ini.

Wan Zaharah Wan Mahmud, 50, dan Nuraihan Rozelan, 26, didakwa mencapai niat bersama menganiaya bayi berusia lebih kurang setahun itu sehingga mendatangkan kecederaan pada lengan sebelah kanan.

Perbuatan itu dilakukan pada kira-kira 9.45 pagi di Taska Sayangku Harma, Kampung Raja, 5 Sept lepas

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, dan dikenakan bon berkelakuan baik serta perintah khidmat masyarakat.

Hakim Ahmad Fadhli Mahmud membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah juga mengarahkan kedua-dua wanita itu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam Ghazali Ismail daripada Tetuan Ghazali Ismail & Co.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.