
Perada Randai, 26, buat pengakuan itu di hadapan Hakim Suhaila Haron dan Noridah Adam selepas pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dibacakan di dua mahkamah berasingan.
Bagi pertuduhan pertama, Perada yang berasal dari Sarawak didakwa menggunakan bantal untuk menutup muka seorang bayi lelaki berusia enam bulan.
Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa menampar pipi dan mengetuk kepala seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah taska yang terletak di unit apartmen di Kampung Baru Salak Selatan pada 15 Dis lalu.
Peguam Jason Wee, yang mewakili ibu kepada bayi lelaki berkenaan, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya ingin menyediakan pernyataan impak mangsa sebelum Perada dijatuhi hukuman.
Kedua-dua hakim menetapkan 16 Jan untuk hukuman, manakala Perada dibebaskan dengan jaminan RM12,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Zanyuin dan Adiba Iman Hassan, manakala Perada diwakili peguam Ridzuan Sihat.
Dalam kes berasingan, seorang lagi wanita, Stephanie Agus, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membedung bayi lelaki yang sama dan membiarkan mangsa meminum susu tanpa pemantauan.
Stephanie yang juga berasal dari Sarawak didakwa di bawah peruntukan undang-undang yang sama seperti Perada.
Mahkamah membenarkan Stephanie diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 16 Feb untuk pengurusan kes.