Guru taska disyaki dera bayi ditahan

Guru taska disyaki dera bayi ditahan

Polis sebelum itu menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung terdapat kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya.

Kesan kecederaan pada telinga dan pipi bayi lelaki 11 bulan yang disyaki akibat didera seorang guru taska di Puncak Alam, Selangor. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR:
Seorang wanita tempatan ditahan Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes mengasari dan mendera bayi lelaki berusia 11 bulan di sebuah taska di Puncak Alam, Selangor.

Ketua Polis Sungai Buloh, Hafiz Muhammad Nor, berkata wanita berusia 24 tahun yang bekerja sebagai guru taska itu ditahan di pekarangan IPD Sungai Buloh pada 6.50 petang.

“Sabtu lepas, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung terdapat kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya selepas mengambil bayi tersebut daripada sebuah taska pada 6.15 petang, 13 Dis lalu.

“Lelaki tersebut dimaklumkan oleh pengasuh taska bahawa kesan lebam itu berpunca akibat anaknya terjatuh daripada meja di dalam taska,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hafiz berkata lelaki terbabit kemudiannya membuat laporan polis selepas menerima panggilan daripada penyelia taska pada Sabtu yang memaklumkan kesan lebam berkenaan berpunca daripada perbuatan pekerjanya dan bayi itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pihaknya turut memperoleh rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan perbuatan wanita terbabit yang bekerja di taska berkenaan sejak tiga tahun lepas dan setakat ini empat individu dirakam keterangan.

Suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.