Syor syarikat suami, pengarah jabatan kerajaan mengaku tak salah

Syor syarikat suami, pengarah jabatan kerajaan mengaku tak salah

Hanita Ahmad didakwa guna jawatan untuk suapan suami bagi kerja khidmat makan minum untuk program himpunan skim rondaan sukarela.

Hanita Ahmad
Hanita Ahmad, 57, dibenar ikat jamin RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth dengan sebutan semula kes pada 30 Sept.
BUTTERWORTH:
Pengarah jabatan kerajaan di Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan jawatan dengan mengesyorkan perniagaan milik suaminya bagi satu program, lapan tahun lalu.

Hanita Ahmad, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam Gred S41 di jabatan kerajaan ketika itu telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi suaminya dengan mengesyorkan perniagaan milik suaminya, iaitu Tegas Enterprise.

Ia bagi kerja ‘Perkhidmatan Makan-Minum Untuk Program Perhimpunan Perdana Skim Rondaan Sukarela Daerah Seberang Perai Utara 2017’ bernilai RM3,840 melalui Nota Minta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di jabatan kerajaan di Seberang Perai Utara, pada 14 Julai 2017, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noor Azura Zulkiflee mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hanita yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia menanggung keluarganya kerana suaminya tidak bekerja selama setahun.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan jaminan RM8,000 dan semua permohonan pihak pendakwaan berserta syarat tambahan serta menetapkan 30 Sept bagi sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.