Dera bayi: Bekas pengasuh dipenjara 6 bulan, denda RM10,000

Dera bayi: Bekas pengasuh dipenjara 6 bulan, denda RM10,000

Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni dalam hujahan berkata mangsa alami pendarahan otak dan badan sebelah kiri lemah.

gavel
Saidatul Syafinaz Saadan, 27, mengaku salah mendera bayi itu dalam kejadian empat tahun lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Bekas pengasuh taska dikenakan penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku salah mendera bayi berusia tujuh bulan, empat tahun lalu.

Hakim Surita Budin turut memerintahkan hukuman penjara tambahan 10 bulan sekiranya tertuduh, Saidatul Syafinaz Saadan, 27, gagal menjelaskan denda itu.

Mahkamah turut mengarahkan ibu kepada seorang anak itu menjalani khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh 12 bulan dan dikenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin mengikut Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sekiranya tertuduh gagal membayar bon itu, boleh dihukum penjara dua bulan, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan kesalahan mendera sehingga mendatangkan kecederaan fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh bulan ketika kejadian.

Kesalahan dilakukan pada 24 Ogos 2020 antara 7 pagi hingga 6.30 petang, di sebuah taska di Garden Avenue Seremban 2.

Justeru, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Peguam, Mohamad Kamaruzzaman yang mewakili tertuduh berkata, ini adalah kesalahan pertama anak guamnya dan berlaku tanpa disengajakan.

Katanya, tertuduh mempunyai seorang anak berusia 15 bulan dan disahkan mempunyai sakit jantung, manakala bapa kepada tertuduh juga mengalami depresi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni dalam hujahan berkata, tertuduh adalah pengasuh dan seharusnya menjaga mangsa, bukannya mendatangkan kecederaan kepadanya.

“Ia mengakibatkan mangsa alami pendarahan otak dan badan sebelah kiri lemah. Sehubungan itu mohon hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat secara umumnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.