Guna Kanun Keseksaan, bukan undang-undang Darurat bagi pesalah SOP, kata Ahli Parlimen

Guna Kanun Keseksaan, bukan undang-undang Darurat bagi pesalah SOP, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham berkata, ia akan menghukum pesalah yang degil berbanding kesilapannya.

Ramai antara mereka yang ditahan tidak tahu mengenai SOP atau hanya melakukan kesalahan dan bukan pesalah yang degil, kata Ngeh Koo Ham. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 harus didakwa mengikut Kanun Keseksaan bukannya Ordinan Darurat 2021, usul Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham sambil berkata ia akan menghukum pesalah yang degil dan bukan kesilapannya.

Seksyen 186 Kanun Keseksaan menetapkan bahawa sesiapa “secara sukarela menghalang mana-mana penjawat awam dalam melaksanakan fungsi awamnya” boleh dijatuhkan hukuman sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya.

“Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) memperuntukkan bahawa polis (dan agensi penguatkuasaan lain) akan membantu pegawai yang diberi kuasa dalam menjalankan tugas mereka. Saya mencadangkan polis melakukan rondaan mereka untuk memberi amaran kepada orang ramai agar mematuhi SOP yang dikehendaki berdasarkan peraturan Akta 342,” kata bekas peguam itu dalam kenyataan.

“Jika mereka enggan mendengar amaran itu dan tidak mematuhi arahan polis, pelaku yang berdegil boleh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang pegawai awam menjalankan tugas.”

Beliau percaya masyarakat akan lebih berpuas hati dengan pendekatan ini, kerana mereka akan diberi amaran terlebih dahulu mengenai SOP yang mungkin tidak mereka patuhi, yang menurutnya “sering berubah hari ke hari.”

Usul itu dikemukakan selepas pindaan terbaharu terhadap Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) 2021, yang berkuat kuasa pada 11 Mac, memperuntukkan kenaikan hukuman umum atas kesalahan bawah Akta 342 denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun, atau kedua-duanya.

Ngeh menyifatkan hukuman itu “terlalu tinggi …, kerana ia hanya membabitkan kegagalan mematuhi beberapa SOP yang ditentukan oleh undang-undang.”

Katanya, hukuman itu juga akan mendorong berlaku rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa.

Ngeh berkata, pindaan itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Malah Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador keliru apabila dia mengatakan bahawa kompaun RM10,000 hanya akan dikenakan kepada individu yang melanggar perintah kawalan pergerakan berulang kali, serta mereka yang boleh mencetuskan penularan Covid-19.”

Katanya mengikut amalan, polis atau pegawai yang diberi kuasa akan menangkap, menahan dan menyiasat semua yang disyaki melakukan kesalahan bawah Akta 342 sebelum memutuskan sama ada akan mendakwa mereka di mahkamah atau memohon kepada pendakwa raya untuk mendapatkan persetujuan untuk mengkompaun kes-kes tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.