
Hakim Su Tiang Joo berkata, isteri Koh, Susanna Liew, berjaya membuktikan melalui keterangan mengikut keadaan bahawa wujudnya penglibatan ejen kerajaan dalam insiden itu.
“Cara operasi oleh ejen tidak dikenali itu yang begitu canggih mencadangkan ia didalangi sebuah badan berinstitusi,” katanya semasa membacakan penghakiman.
Menurut hakim, pihak kerajaan juga gagal mengemukakan sebarang penjelasan berhubung rentetan peristiwa tersebut dalam pernyataan pembelaan.
Su juga berkata, walaupun terdapat rakaman CCTV dan saksi kejadian, siasatan polis dilihat tidak bersungguh-sungguh, ‘berkemungkinan kerana mereka sendiri terlibat’.
“Operasi itu mengambil masa tidak sampai seminit, dan sudah pasti ia menuntut perancangan rapi dan persiapan logistik yang teliti,” katanya.
“Ini bukan satu tindakan rambang. Fakta ini membolehkan mahkamah membuat kesimpulan bahawa (penculikan Koh) angkara sebuah unit terancang.”
Menurut mahkamah, seorang lelaki bernama Lam Chang Nam pernah didakwa pada 2017 atas ‘penculikan’ Koh, namun dakwaan itu kemudiannya ditarik balik.
“Pegawai penyiasat (Supari Muhammad) sendiri mengakui tiada keterangan yang menunjukkan penglibatan Lam,” tambah Su.
Hakim itu juga mendedahkan bahawa kerajaan sedia maklum mengenai seorang individu, Saiful Bahari Abdul Aziz, yang didakwa hadir ketika Koh diculik, tetapi memilih untuk tidak mendedahkan perkara itu.
Hak Liew untuk tahu keberadaan Koh dinafikan
Mahkamah turut memutuskan kerajaan memungkiri kewajipan statutori kerana gagal menjalankan siasatan yang sewajarnya berhubung kehilangan Koh.
“Plaintif (Liew) berjaya membuktikan bahawa seorang atau lebih defendan menyalahgunakan kuasa awam dengan niat jahat untuk mendatangkan mudarat kepada beliau dan suaminya,” katanya.
“Kemudaratan yang ditanggung plaintif sebahagian besarnya berpunca daripada penafian haknya untuk mengetahui (keberadaan Koh) serta tindakan kerajaan yang ‘menggagalkan’ inkuiri sebelum ini.”
Justeru, hakim mengarahkan siasatan baharu dibuka berhubung penculikan Koh, dan memerintahkan ketua polis negara menggugurkan Supari serta pegawai-pegawai lain daripada siasatan kes itu.
“Pihak polis perlu memulakan semula siasatan dan melaporkan hasil dapatan kepada Jabatan Peguam Negara setiap dua bulan,” kata Su.
Koh diculik pada 13 Feb 2017 ketika memandu melalui Jalan SS4B/10 di Petaling Jaya.
Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu bagaimana lima lelaki bertopeng yang memakai pakaian serba hitam ala tentera mengheret Koh keluar dari keretanya.
Liew sebelum ini memfailkan saman terhadap pihak polis dan kerajaan berhubung penglibatan kerajaan dalam kehilangan suaminya, serta cara siasatan kes itu dikendalikan oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, Su mengarahkan kerajaan dan pihak polis membayar pampasan lebih RM37 juta kepada keluarga Koh atas penglibatan kerajaan dalam penculikan Koh.
Hakim memutuskan bahawa seorang atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Koh dan bertindak atas arahan lapan tahun lalu.