SKMM minta kerjasama orang ramai lapor penyebaran berita palsu

SKMM minta kerjasama orang ramai lapor penyebaran berita palsu

Sukar ambil tindakan undang-undang jika masyarakat tidak turut laporkan penyebaran berita tidak sahih.

Menyebarkan berita palsu boleh membawa hukuman denda sehingga RM50,000 mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
KUALA LUMPUR:
Orang ramai diminta memainkan peranan dengan melaporkan berita palsu dan mengelirukan yang disebarkan di media sosial atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terutama ketika wabak Covid-19 melanda negara.

Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata kurangnya kerjasama masyarakat untuk melaporkan perbuatan menyebarkan berita tidak sahih menyukarkan tindakan undang-undang diambil kepada pelaku kesalahan.

“Tindakan undang-undang (hanya) boleh diambil kepada mereka yang dilaporkan. Ini penting ya, kalau orang tak lapor (sukar untuk) tindakan diambil,” katanya kepada Bernama malam ini.

Fadhlullah Suhaimi berkata bagaimanapun tindakan undang-undang sepatutnya menjadi pilihan terakhir dalam menangani perkara itu dan usaha advokasi akan diteruskan dalam mengubah mentaliti masyarakat termasuk menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkan kepada pihak lain.

Menyebarkan berita palsu adalah kesalahan mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga 18 Jan, sebanyak 278 kertas siasatan telah dibuka oleh polis dan SKMM berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.