Pemuda Umno beri 5 cadangan selepas Agong tolak cadangan darurat, arah henti ‘politicking’

Pemuda Umno beri 5 cadangan selepas Agong tolak cadangan darurat, arah henti ‘politicking’

Semalam Sultan Abdullah berkata, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bagi menangani wabak Covid-19 seperti dicadangkan oleh kerajaan sebelum ini.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara lain Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hendaklah memanggil presiden parti politik untuk berunding bagi memastikan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan diluluskan sebulat suara.
PETALING JAYA:
Pemuda Umno menggesa ahli politik mengambil pengajaran dan memahami maksud tersirat kenyataan Yang di-Pertuan Agong ketika menolak usul kerajaan untuk mengisytiharkan darurat, sekali gus meminta dihentikan segera “politicking” yang boleh membinasakan negara.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan bagi menjunjung perintah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, antaranya, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin perlu memanggil semua presiden parti politik kerajaan dan pembangkang untuk berunding bagi memastikan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan diluluskan sebulat suara.

Sayap itu turut menyarankan supaya Parlimen Batu Sapi dikekalkan status quo sebagai kerusi Warisan dalam PRK yang akan diadakan berikutan kematian penyandangnya baru-baru ini.

“PRK itu tidak perlu ditandingi oleh mana-mana parti politik dalam pilihan raya kecil yang tidak boleh dielakkan sebagaimana peruntukan perlembagaan persekutuan,” katanya dalam kenyataan, merujuk kepada PRK Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember ini.

Asyraf juga berkata, wakil parti kerajaan dan pembangkang hendaklah dilantik ke dalam sebuah jawatankuasa khas bagi membantu menangani isu berkaitan pandemik Covid-19 dan dampak negatifnya yang memberi kesan langsung ke atas kesejahteraan rakyat.

“Keempat rundingan bi-partisan (kerajaan dan pembangkang) boleh diadakan secara berkala untuk memfokuskan segala agenda bagi membantu rakyat akibat kegawatan ekonomi yang makin meruncing.

Selain itu katanya, semua percaturan politik bagi merebut kuasa dan jawatan hendaklah dihentikan sehingga selesai perjuangan menghadapi pandemik Covid-19 dan kegawatan ekonomi yang berlaku.

Semalam Sultan Abdullah berkata, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di mana-mana bahagian di Malaysia bagi menangani wabak Covid-19 seperti dicadangkan oleh kerajaan sebelum ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Agong percaya kerajaan berjaya menangani wabak itu dengan baik dan berkesan.

Katanya, Sultan Abdullah yakin dengan keupayaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam melaksanakan dasar dan langkah penguatkuasaan bagi membendung penularan wabak itu.

Selain itu katanya, Agong juga mengingatkan ahli politik supaya berhenti “bermain politik” supaya kestabilan negara tidak terjejas.

Dalam kenyataan yang sama, Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Nov depan amat penting dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.