Umno tak pernah tutup pintu kerjasama dalam isu Melayu-Islam

Umno tak pernah tutup pintu kerjasama dalam isu Melayu-Islam

Ahli MKT Sharkar Shamsudin berkata Umno terbuka untuk bekerjasama dalam isu Melayu-Islam.

umno logo resize 17825
Umno main peranan sebagai ‘pemantau’ dalam kerajaan agar isu-isu melibatkan masyarakat Melayu-Islam terbela, kata pemimpinnya.
PETALING JAYA:
Umno tidak pernah menutup pintu kerjasama dalam isu-isu melibatkan masyarakat Melayu dan Islam, kata ahli majlis kerja tertinggi (MKT), Sharkar Shamsudin.

Katanya, Umno memainkan peranan sebagai ‘pemantau’ dalam kerajaan agar isu-isu melibatkan masyarakat Melayu-Islam terbela.

“Kita terbuka dan tidak pernah tutup pintu kerjasama,” katanya kepada FMT.

Penegasan ini menyusuli usaha beberapa NGO yang berharap Umno menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), serta tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU16.

Harapan itu disampaikan dalam pertemuan Perkasa bersama 16 NGO lain dengan pimpinan Umno termasuk Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki semalam, di sebalik pergolakan yang melanda Bersatu mutakhir ini.

“Kita alu-alukan dan ucap terima kasih saranan NGO Melayu untuk kita buat MN semula,” kata Sharkar, yang menghadiri pertemuan itu.

Beliau turut menyambut baik perkembangan ini. “Ini kita satu anggap sebagai benda positif dan akan bincang perkara ini.”

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh menyahut usaha penyatuan dengan nada positif.

“Saya sangat bersetuju. Politik Melayu-Islam perlu disatukan,” tegas beliau.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Khairul Nadzir Helmi Azhar pula berkata usaha mengembalikan MN harus berdasarkan dasar penyatuan ummah yang lebih holistik, bukan hanya sifat kepartian politik semata-mata.

“MN yang sebelum ini dipelopori Umno dan PAS perlu melibatkan parti-parti Melayu lebih besar bagi memastikan untuk kemajuan Melayu Islam dan bukan berdasarkan kepentingan kuasa,” katanya.

Saranan ini menarik perhatian kepada kebuntuan dalam MN, apabila PAS bertegas mahu bekerjasama dengan Bersatu, yang secara langsung bersaing dengan Umno.

Pada Okt 2022, Presiden Zahid Hamidi dilapor berkata jalinan kerjasama dengan Bersatu tidak rasional memandangkan parti itu diwujudkan dengan matlamat untuk menamatkan Umno dan Barisan Nasional.

Laporan Berita Harian itu dipautkan pada satu berita pada September tahun sama, yang mana Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengingatkan BN adalah musuh utama yang perlu dilawan pada PRU15.

Terbaharu, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid berpandangan tiada keperluan menghidupkan kembali MN, kerana PN sudah membuktikan ia mampu meraih sokongan pengundi Melayu terutama pemuda, berdasarkan prestasi PRU 2022 dan PRN 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.