
Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata parti itu, yang merupakan sebahagian daripada pembangkang Sarawak, berharap dapat bertanding 15 kerusi sekiranya jumlah kawasan pilihan raya kekal 82, atau 18 kerusi jika DUN ditambah kepada 99 kerusi.
Pada Julai lalu, DUN Sarawak meluluskan rang undang-undang untuk menambah bilangan kerusi daripada 82 kepada 99, dengan gabungan pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata peningkatan itu perlu bagi menampung pertambahan penduduk, peluasan bandar dan keluasan kawasan luar bandar.
DAP Sarawak ketika ini memegang dua kerusi DUN iaitu Padungan, yang diwakili Chong, dan Pending, dipegang Violet Yong.
“Semak dan imbang yang diperlukan serta suara alternatif rakyat tidak akan dapat didengar dan dihormati jika kami hanya dua daripada 82 ahli DUN,” kata Chong yang dipetik Dayak Daily.
Beliau berkata matlamat DAP pada pilihan raya akan datang bukan untuk menukar kerajaan, tetapi untuk memelihara demokrasi dan melindungi hak rakyat.
Chong turut menegaskan bahawa DAP kekal sebagai satu-satunya kuasa pembangkang yang konsisten dan berwibawa di Sarawak.
Katanya, terdapat parti yang sering mendakwa mereka pembangkang, tetapi berpaling tadah dengan menyertai gabungan pemerintah selepas memenangi kerusi.
“Penyertaan mereka sebagai calon pembangkang hanyalah tiket untuk menyertai GPS jika menang,” katanya.
Pada PRN 2021, DAP bertanding 24 kerusi DUN tetapi hanya menang dua kerusi, berbanding tujuh kerusi dalam pilihan raya sebelumnya.
Pada Disember tahun lalu, Chong berkata parti itu mahu memenangi lebih banyak kerusi bagi membentuk semakan dan imbangan yang lebih kukuh di DUN, sambil menambah bahawa Sarawak selama ini telah mendapat manfaat daripada kewujudan pembangkang yang kuat di negeri itu.
Pilihan raya bagi memilih DUN baharu Sarawak perlu diadakan sebelum April 2027.