
Pengerusi, Faisal Abdul Aziz, berkata desakan untuk mengisytiharkan harta ditujukan kepada semua parti politik termasuk yang berada dalam komponen kerajaan perpaduan terutama menjelang PRN Sabah.
Katanya, badan pemantau pilihan raya itu sentiasa bersikap kritikal terhadap semua parti, baik kerajaan atau pembangkang bagi memastikan wujud semak dan imbang serta memupuk budaya politik sihat, bersih serta adil.
“Misalnya, Bersih pun pernah memberi ‘Gred D’ kepada kerajaan Madani kerana dilihat mengambil masa lama dalam melaksanakan agenda reformasi institusi.
“Maka, tidak timbul isu Bersih bersifat selektif kepada mana-mana pihak,” katanya kepada FMT.
Faisal juga menyeru semua parti politik termasuk PAS berlapang dada menerima kritikan dalam usaha menambah baik keyakinan rakyat.
“Ini termasuk meningkatkan ketelusan melalui pengisytiharan harta sebagai langkah awal untuk menangani rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Semalam, Tuan Ibrahim mempersoalkan integriti Bersih kerana cuba mencipta persepsi negatif apabila membangkitkan isu tidak isytihar harta dalam kalangan wakil rakyat pembangkang.
Katanya, Bersih dilihat lebih cenderung kepada kerajaan berbanding mempertahankan pilihan raya yang bersih dan adil.
Sebelum ini, FMT melaporkan Bersih mendedahkan Ahli Parlimen pembangkang masih belum mengisytiharkan harta, walaupun desakan berulang kali dibuat masyarakat umum.
Katanya, satu-satunya pihak berbuat demikian setakat ini ialah ahli politik PKR, dengan majoriti daripada 72 calonnya pada PRU15 mengisytiharkan harta, termasuk Presiden Anwar Ibrahim, isterinya Dr Wan Azizah Ismail serta timbalan presiden ketika itu, Rafizi Ramli.
Khamis lalu, Bersih turut menggesa semua calon akan bertanding pada PRN Sabah bulan depan mengisytiharkan harta sebagai usaha meningkatkan ketelusan, khususnya berkaitan dana dan sumber kempen yang diterima.