Contohi sikap rasional Adun Johor, Puad gesa pembangkang

Contohi sikap rasional Adun Johor, Puad gesa pembangkang

Speaker DUN Johor berkata pembangkang di Parlimen wajar mencontohi Adun negeri itu yang tidak guna bahasa kesat dalam memainkan peranan semak dan imbang.

Puad Zarkashi
Puad Zarkashi turut mempertahankan Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan susulan kekecohan yang berlaku dengan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim di Dewan Rakyat semalam.
PETALING JAYA:
Speaker DUN Johor Puad Zarkashi menggesa Ahli Parlimen pembangkang mencontohi Adun negeri itu yang disifatkan lebih rasional dalam memainkan peranan semak dan imbang.

“Pembangkang di Parlimen wajar mencontohi ‘pengimbang’ di DUN Johor. Rasional dan tidak guna bahasa kesat,” katanya di Facebook.

Semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan dilaporkan menyindir sikap wakil rakyat pembangkang yang meminta pelbagai peruntukan pembangunan di kawasan mereka namun tidak menyokong Belanjawan 2026 melalui undian blok pada Selasa lalu.

“Belanjawan untuk rakyat mereka tak sokong tapi minta berjela-jela. Macam malas saya nak menjawab,” katanya.

Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil rakyat pembangkang termasuk Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.

Mempertahankan tindakan Ahmad Maslan, Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengingatkan Shahidan bahawa beliau juga wakil rakyat di kawasannya dan bukan hanya kepada parti.

“Dia menengking Ahmad Maslan ‘Otak kamu, timbalan menteri. Kamu timbalan menteri rakyat Malaysia. Bukan timbalan menteri parti kamu’.

“Samalah, Shahidan bukanlah wakil rakyat kepada partinya. Tetapi wakil rakyat kepada rakyat di kawasannya. Tidak wajar tolak bajet ‘in blanket’,” katanya sambil menyindir sikap pembangkang yang hanya menyokong belanjawan sekiranya elaun dinaikkan.

Selasa lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 120 Ahli Parlimen bersetuju, 67 tidak bersetuju dan 35 tidak hadir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.