
Seperti ibu bapa lain, Martin Dorey cukup teruja dapat menghantar anak perempuannya Maggie yang berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Bristol.
Namun, keterujaan ini amat berbeza buat keluarga Dorey. Rupa-rupanya kampus tersebut terletak berdekatan dengan Hospital Kanak-kanak Bristol yang cukup istimewa dalam hidup mereka.
17 tahun lalu, anak perempuan Dorey terpaksa berperang dengan leukemia di situ selama enam bulan sebelum akhirnya sembuh.
Kisah luar biasa itu dikongsi di akaun Twitter Martin Dorey@campervanliving dan tular atas sebab yang cukup istimewa.
“Hantar Maggie ke Uni Bristol hari ini. Dari bilik barunya, anda boleh lihat bilik di Hospital Kanak-Kanak Bristol di mana 17 tahun lalu dia menghabiskan masa 6 bulan bertarung dengan leukemia. Tangisan gembira. Terima Kasih NHS,” katanya dalam perkongsian di akaun Twitter.
Dia turut menyampaikan penghargaan kepada pihak pengamal perubatan profesional di negara itu di atas khidmat mereka.
Walaupun perkongsian di twitter itu sudah cukup menyentuh perasaan, respon seorang daripada jururawat di hospital berkenaan menjadikan interaksi itu lebih bermakna.
Seorang jururawat dikenali sebagai Charlotte Higby membalas di ruangan komen dan menceritakan kaitannya dengan Maggie.
“Wow, meremang bulu roma! Sebagai jururawat yang menjaga Maggie ketika itu, tidak terucap betapa bermaknanya perkongsian ini kepada saya. Semoga berjaya Maggie,” katanya di twitter.
Selain jururawat tersebut, warganet turut sama mengucapkan tahniah dan mendoakan kejayaannya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]