
Berpantang maut sebelum ajal, perumpamaan yang tepat menjelaskan insiden membabitkan seorang budak lelaki berusia 4 tahun yang tergelincir dari tebing dan terjatuh kira-kira 21 meter.
Lebih menakjubkan lagi, kanak-kanak itu hanya mengalami calar dan lebam biasa, kata Pasukan Mencari dan Menyelamat Wolfe County, Kentucky, dalam catatan di Facebook.
Difahamkan, budak lelaki itu bersama ibu bapanya sedang menikmati aktiviti denai kembara (hiking) di Taman Negara Daniel Boone, pada Jumaat apabila tiba-tiba dia terpisah dan “terjatuh dari tebing,” kata pasukan itu.
“Ketika terjatuh, budak lelaki itu tersangkut di beberapa belebas sempit sebelum terjatuh di cenuram setinggi hampir 30 kaki, menjadikan keseluruhan ketinggian 70 kaki,” tambahnya.
Bapa kanak-kanak tersebut pantas bertindak, turun ke tebing mencapai anaknya dan kemudian membawanya menuruni bukit menuju ke jalan raya, di mana ahli pasukan mencari dan menyelamat menemui kedua-duanya.
“Luar biasa, walaupun anak itu mengalami luka kecil dan lebam, dia nampaknya baik-baik saja,” kata pasukan mencari dan menyelamat dalam catatan di Facebook. “Dia begitu ramah, dan sangat berminat dengan karakter adiwira.”
“Sedangkan satu-satunya adiwira yang ada di sini adalah dirinya,” tambah pasukan itu lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]