
Terkenal sebagai seorang atlet paralimpik, ahli muzik, penceramah motivasi, pemain papan luncur dan luncur ombak, kini Athony S. Ferraro menambah satu lagi portfolio buat diri selepas bergelar suami.
Baru-baru ini, pencipta kandungan yang cacat penglihatan itu berkongsi gambar dan video detik bersejarah majlis perkahwinannya dengan pilihan hati, Kelly Anne Ferraro di media sosial.
Gambar dan video yang dimuat naik itu tular dengan lebih 520,000 tontonan, 100,000 tanda suka serta ribuan komen kerana keunikan perincian yang diberikan terhadap gaun pengantin Kelly.
Difahamkan gaun pengantin Kelly dijahit khusus daripada fabrik tactile atau kain yang membantu deria sentuhan orang buta.
Ferraro menjelaskan, isterinya mencuba banyak gaun sebelum menemui gaun pengantin sempurna itu.
“Dia tiba-tiba menangis, ketika itulah dia tahu. Ia dirahsiakan dari saya sehinggalah dia melangkah ke majlis perkahwinan kami dan akhirnya saya dapat merasainya sendiri, ia cukup menakjubkan.
“Bagi saya dia amat cantik, saya dapat menggambarkan dirinya yang sempurna di fikiran saya,” kata Ferraro.
Klip video yang mengundang perhatian di TikTok dan Instagram itu menyebabkan pembaca cukup tersentuh dengan kisah cinta mereka.
“Ia sememangnya hari yang paling mengagumkan, ramai sahabat handai dan ahli keluarga hadir untuk menyaksikan cinta kami disatukan,” kata Ferraro di dalam klip video tersebut.
Hakikatnya, ramai warganet yang kelihatan kagum dan tertarik dengan gaun pengantin itu, kerana idea menggunakan ‘pakaian sentuhan’ (tactile) untuk mereka yang cacat penglihatan adalah sesuatu yang masih baru.
Malah, seorang pembaca menggelar gaun pengantin itu sebagai ‘perkara paling manis pernah berlaku’.
“Ya Tuhan, dia memakai gaun yang membantu sentuhan. Cantiknya! Tahniah,” komen seorang lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]