Rancangan hiking, berkelah bertukar jadi acara pikul 10kg sampah

Rancangan hiking, berkelah bertukar jadi acara pikul 10kg sampah

Bungkusan sampah sarap itu dipercayai ditinggalkan pengunjung tidak bertanggungjawab lebih seminggu lalu.

Video yang dimuat naik itu tular sebaik dikongsi di akaun Facebook Discovery Terengganu, dengan lebih 2.2 juta tontonan. (Gambar TikTok)

Rancangan seorang pemuda untuk melakukan aktiviti denai kembara (hiking) sambil berkelah punah selepas pemandangan yang indah dicemari longgokan sampah sarap.

Kisah berkelah tak jadi itu dikongsi pemilik akaun TikTok @hafizitajudin yang terpaksa mengutip dan memikul 10kg sampah turun dari denai kembara menuju ke air terjun Janda Mandi di Kemaman, Terengganu.

Hafizi yang turut dikenali sebagai Pok Jie di TikTok berkongsi di video bagaimana rancangannya untuk hiking dan berkelah di air terjun tersebut bertukar menjadi acara mengutip sampah.

Menurut Hafizi dia tidak sanggup melihat sampah yang berselerakan di sepanjang denai menuju ke air terjun tersebut dan terpaksa menghentikan aktivitinya.

Menurut pemuda berusia 27 tahun itu, dia dan rakannya Nuralia Faziera pada mulanya cuba membersihkan kawasan itu dengan mengutip botol minuman yang ditinggalkan pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu mereka menemui satu guni beg sampah hitam besar di tepi denai dan terus mengambil keputusan untuk membatalkan rancangan mereka supaya dapat membawa sampah-sarap itu ke bawah.

Difahamkan, bungkusan sampah yang dipenuhi botol minuman, bekas makanan dan pelitup muka terpakai itu ditinggalkan di situ sejak lebih seminggu lalu.

Teladan baik yang ditunjukkan dua sahabat itu disanjung tinggi warganet. Malah video yang dimuat naik itu tular sebaik dikongsi di akaun Facebook rasmi Discovery Terengganu, mengundang lebih 2.2 juta tontonan.

Ribuan rakyat Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana membantu menjaga alam sekitar.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.