“Saya bukan mesin ATM’: Rider Foodpanda, pelanggan tikam lidah hal bayar tunai

“Saya bukan mesin ATM’: Rider Foodpanda, pelanggan tikam lidah hal bayar tunai

Pelanggan dan rider turut berdebat tentang siapa yang sepatutnya membatalkan pesanan.

Seorang penyumbang di Stomp dikenali sebagai Shamla berkongsi insiden bertikam lidah dengan seorang rider berhubung pesanan dengan bayaran tunai. (Gambar Stomp)

Macam-macam cerita yang pernah tular tentang rider penghantar barangan. Ada yang menyentuh hati, membanggakan, menyedihkan tak kurang juga yang menyakitkan hati.

Kisah yang dikongsi di platform Stomp ini membabitkan sesi bertikam lidah antara seorang pelanggan dengan rider berhubung bayaran tunai.

Tangkap layar perbualan yang dikongsi penyumbang dikenali sebagai Shamla itu turut memaparkan perbualan mereka berhubung pembatalan tempahan.

“Saya menggunakan khidmat Foodpanda hampir setiap hari tapi ini kali pertama saya berdepan perangai seorang rider yang tak masuk akal,” kata penyumbang di Stomp itu.

“Biasanya bila saya membuat tempahan, selalunya dalam jumlah yang besar dan bayaran juga tidak pernah berdepan sebarang masalah.

“Namun, hanya kerana saya ingin membayar secara tunai pada 10 Oktober lalu, ia nampaknya menjadi masalah bagi rider tersebut sebaik memberitahunya saya memilih penghantaran dengan bayaran tunai dan tidak mempunyai wang kecil.”

Dalam teks tersebut, Shamla memberitahu rider itu terlebih dahulu dia hanya mempunyai wang $50 dan tidak ada wang kecil.

Penunggang itu mencadangkan dia menggunakan PayNow tetapi Shamla sudah mengeluarkan wang tunai untuk membayar pesanan.

Apabila rider itu berkata dia juga tiada wang tukar, Shamla memintanya membatalkan pesanannya.

Mereka kemudian berdebat mengenai siapa yang perlu membuat pembatalan.

Shamla berkata: “Saya telah nyatakan pembayaran tunai, anda tidak mempunyai wang tukar, jadi itu bukan masalah saya.”

Penunggang itu menjawab: “Saya tidak pernah kata ia masalah anda, anda mahu bayar dengan wang tunai, sediakan wang yang tepat. Saya bukan mesin ATM.”

Shamla menegaskan sebagai rider, dia sepatutnya mempunyai wang kecil tetapi dia tidak bersetuju.

“Saya ambil pesanan [anda], saya hantar, [anda] bayar,” ujar penunggang itu.

Dia sekali lagi meminta Shamla membayar menggunakan PayNow dan bertanya, ‘apa perbezaannya?’

Shamla pula mencadangkan pembayaran secara tunai dan dia mengembalikan bakinya melalui PayNow.

Akhirnya, penunggang itu berkata: “Hilang sel otak bercakap dengan [anda].”

Dia akhirnya membatalkan pesanan tersebut.

Shamla memberitahu Stomp dia menganggap penunggang itu tidak bertimbang rasa, kasar dan cara percakapannya juga “tidak dapat diterima dan teruk”.

“Mohon agar semua orang ambil perhatian terhadap insiden ini, saya berharap ia tidak terjadi di masa hadapan.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke f[email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.