Kubu nuklear bawah tanah dilelong

Kubu nuklear bawah tanah dilelong

Dengan harga lelongan RM2.46 juta, kubu dua tingkat ini mempunyai 56 bilik.

Kubu bawah tanah yang dilelong di Devon, England. (Gambar Clive Emson Auctioneers/ APEX)

Sebuah tempat yang pernah menjadi kubu nuklear bawah tanah di England dilelong pada harga 435,000 pound (RM2.46 juta).

The Independent melaporkan, kubu dua tingkat terletak berhampiran Salcombe, Devon itu dilengkapi 56 bilik dan dibina pada 1941 sebagai stesen radar Perang Dunia Kedua.

Bagaimana pun, dengan ancaman serangan nuklear ketika Perang Dingin, ia dibina semula pada 1950an untuk menjadi pangkalan kerajaan serantau.

Kubu itu dibiarkan dalam keadaan siap sedia sehingga 1990 dan mampu memuatkan 250 kakitangan kerajaan sekiranya negara itu diserang.

Namun, ia bukanlah kali pertama hartanah terbabit dilelong kerana lelongan pada awal Februari lalu gagal mencapai harga ditetapkan dan ia terpaksa disenarai semula di pasaran.

“Ia dibina untuk ditutup selain mempunyai sistem udara kitar semula. Sekiranya berlaku ancaman radioaktif, ia boleh memberi pelindungan.

“Pada asalnya, tujuan kubu ini untuk memberi pelindungan jika berlaku letupan dan ia mempunyai bekalan minyak yang cukup untuk menghidupkan generator selama 35 hari,” kata penjaganya, Christopher Howell kepada Sky News.

Menurutnya, ia dikawal dengan ketat dan dengan kehadiran penjaga setiap masa untuk memastikan ia beroperasi dengan baik jika berlaku letupan.

Ciri-ciri asal kubu terbabit masih dikekalkan sehingga kini dan ia termasuk beberapa peta yang boleh membantu dalam melakukan serangan balas.

Terdapat juga ‘booth’ stesen radio yang kalis bunyi untuk membuat sebarang siaran kepada orang ramai di luar sana.

Howell berkata, kubu bawah tanah itu mungkin berhantu kerana sebelum ini terdapat satu cerita terdapat kelibat juruterbang zaman perang di bahagian tangga pada waktu malam.

Sementara itu, Tom Lowe yang mewakili syarikat lelong Clive Emson berkata, ramai yang berminat untuk membeli kubu terbabit.

“Terdapat ramai yang menunjukkan minat untuk menjadikannya sebagai stor simpanan keju, arak, kawasan komuniti yang biliknya boleh disewakan untuk pameran lukisan, kelas tarian dan stor komputer. Ada juga berminat menjadikannya sebagai hotel,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.