Jangan jadikan SST alasan naik harga bilik, pengusaha hotel diberitahu

Jangan jadikan SST alasan naik harga bilik, pengusaha hotel diberitahu

Semakan SST berkuat kuasa 1 Julai tak libat perubahan cukai perkhidmatan ke atas penginapan hotel atau makanan dan minuman di premis itu.

hotel do not disturb sign
Sebelum ini persatuan hotel mendakwa sesetengah pengusaha perlu menaikkan harga bilik 10 hingga 15% berikutan semakan struktur SST. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kewangan menegaskan semakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menaikkan kadar bilik hotel.

Katanya, semakan SST berkuat kuasa 1 Julai tidak melibatkan sebarang perubahan kepada cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas penginapan hotel atau makanan dan minuman (F&B) disediakan di hotel.

“Semakan SST tidak memberi kesan ke atas barangan keperluan harian asas, namun mungkin memberi kesan tidak langsung kepada hotel melalui peluasan skop cukai perkhidmatan ke atas penyewaan premis komersial serta cukai jualan ke atas makanan tertentu seperti makanan laut premium dan buah-buahan import.

“Bagaimanapun, kesan tidak langsung ini dijangka tidak menyebabkan peningkatan kos operasi hotel sehingga 10 hingga 15%,” katanya.

Kementerian berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan kenaikan kadar bilik hotel susulan peluasan skop SST seperti dakwaan beberapa persatuan hotel.

Persatuan itu mendakwa, sesetengah pengusaha hotel perlu menaikkan harga bilik sebanyak 10 hingga 15% berikutan semakan struktur cukai tersebut.

MoF berkata, jika terdapat hotel yang menaikkan kadar bilik dengan alasan SST, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneliti perkara tersebut bagi mengelakkan kenaikan harga yang tidak munasabah.

“Jika terdapat hotel yang menaikkan kadar bilik sehingga 15% dengan alasan SST, kerajaan melalui KPDN akan meneliti kesan sebenar SST terhadap hotel-hotel terbabit bagi memastikan tiada unsur pencatutan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.