4 karya seni berkait skandal 1MDB dilelong, dedah laporan

4 karya seni berkait skandal 1MDB dilelong, dedah laporan

Karya Pablo Picasso, Jean-Michel Basquiat dan Diane Arbus dikaitkan dengan Jhor Low kini dilelong melalui Perkhidmatan Marshal AS.

1mdb
Lelongan empat karya seni yang dikaitkan dengan skandal 1MDB bermula pada 16 Julai dan akan berakhir pada 4 Sept. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Empat karya seni berprofil tinggi yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, yang dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), kini dilelong dalam talian oleh Perkhidmatan Marshal AS.

Menurut majalah seni yang berpangkalan di New York, ARTnews pada Selasa, karya-karya yang akan dilelong ialah Jean-Michel Basquiat’s’Self Potrait’ (1982) dan ‘Red Man One’ (1982), ‘Tête de taureau et broc’ karya Pablo Picasso (1939) dan ‘Child with a Toy Grenade’ karya Diane Arbus (1962).

Semua karya itu dijual melalui Gaston dan Sheehan, sebuah syarikat pelelong yang berpangkalan di Pflugerville, Texas.

Lelongan digital itu bermula pada 16 Julai dan akan berakhir pada 4 Sept, dengan pembeli dikecualikan daripada membayar sebarang premium.

‘Self Portrait’ diserahkan kepada AS oleh pengasas bersama Red Granite Pictures Christopher Joey McFarland, rakan kongsi Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan.

Red Granite Pictures didakwa menggunakan dana 1MDB yang telah digelapkan untuk menghasilkan filem 2013, ‘The Wolf of Wall Street’.

Tiga lagi karya seni telah diperoleh oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Tae Jho, atau Jho Low, antara 2012 dan 2014 dan dihadiahkan kepada pelakon Leonardo DiCaprio, yang membintangi dan menerbitkan bersama filem itu.

Semakan FMT di laman sesawang itu menunjukkan lelongan ‘Red Man One’ dibuka hanya pada USD2.975 juta, ‘Self Portrait’ dan karya Picasso bermula pada USD850,000, dan karya Arbus bermula pada USD4,400.

Low masih dikehendaki pihak berkuasa di beberapa negara. Pendakwa raya AS mendakwa bahawa dia dan pegawai berpangkat tinggi lain menggelapkan lebih USD4.5 bilion (RM19.17 bilion) daripada dana pelaburan negara Malaysia antara 2009 dan 2015 melalui pengubahan wang haram dan penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.